Solskjaer perlu kekal kemudi United
LEGENDA Manchester United, Paul Scholes percaya Ole Gunnar Solskjaer berhak mendapat lanjutan kontrak selepas berjaya membawa The Red Devils kembali berada dalam kelompok pasukan teratas di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurutnya, Solskjaer perlu terus diberi peluang untuk mengemudi United dengan perancangan yang diatur pengendali kelahiran Norway itu sudah mula menampakkan hasil.
"Saya rasa dia layak mendapat kontrak baharu bersama United. Terdapat perkembangan bagus ketika dia menjadi pengendali pasukan ini.
"Saya juga melihat pasukan bertambah baik dengan mereka mempunyai matlamat tersendiri. Itu semangat yang sememangnya perlu ada dalam pasukan seperti Untied ini," katanya.
Solskjaer dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk melanjutkan kontrak selama tiga tahun di Old Trafford dengan kontrak asalnya akan berakhir pada Jun 2022.
Dalam masa sama, Scholes mahu Solskjaer berusaha untuk membawa kejuaraan kepada United dengan kebimbangannya bahawa kelab gergasi EPL itu sudah empat musim gagal memenangi sebarang trofi.
"Jika dia melanjutkan kontrak, dia perlu segera membawa kejuaraan kepada United. Saya rasa masalah sekarang ini adalah untuk memenangi kejuaraan. Ia sesuatu yang saya risaukan dengan tewas kepada Leicester City dalam aksi suku akhir Piala FA bukanlah sesuatu yang bagus.
"Penyokong sendiri sudah tentu mahukan kejuaraan. Saya juga mengharapkan agar Solskjaer diberikan ruang untuk menambah pemain yang berkualiti. Saya lihat ketika perlawanan Liga Europa menentang AC Milan, ada beberapa pemain utama yang keletihan.
"Pemain-pemain ini memerlukan rehat dan United kena ada pemain lain yang berkualiti untuk menjadi pengganti. Jika United ada skuad yang bagus dengan pemain yang berkualiti, saya rasa kejuaraan akan kembali berada dapat dicapai United," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!