Pemilihan UMNO dijangka hujung tahun ini
SEREMBAN - Pemilihan UMNO dijangka diadakan pada hujung tahun ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun tarikh sebenar pemilihan turut bergantung kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah kata pemilihan akan dibuat dalam tahun ini, jadi kita punya 'timeline' kalau tidak ada PRU sehingga bulan Ogos, maka kita akan buat mesyuarat cawangan dan bahagian pada tahun ini juga.
"Boleh jadi kita buat mesyuarat cawangan pada bulan September dan ada pemilihan peringkat cawangan.
"Kemudian dua tiga bulan selepas itu kita akan buat mesyuarat di peringkat bahagian pula, boleh jadi bulan Disember atau penghujung bulan November, ini kita punya 'timeline'," katanya ketika ditemui pada program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Daftar Vaksin Covid-19 anjuran Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat pada Sabtu.
Tambahnya, dalam perlembagaan parti, mereka mempunyai tempoh masa sehingga 18 bulan untuk menangguhkan pemilihan, bermula dari tarikh Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada 28 Mac lalu.
Bagaimanapun katanya, UMNO tidak akan menunggu sehingga 18 bulan memandangkan presiden parti telah menegaskan bahawa pemilihan akan diadakan pada tahun ini.
"Sekarang ini, terpulang pada tarikh pilihan raya, 'timeline' kita sehingga bulan Ogos, jika 1 Ogos masih tidak ada PRU, kita perlu adakan mesyuarat-mesyuarat," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, perpecahan dalam parti pasti akan berlaku sekiranya pemilihan dilakukan sebelum PRU.
Mengulas lanjut katanya, beliau mahu memberi fokus kepada PRU15 dan memenangkan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu supaya boleh menubuhkan kerajaan.
"Kita tidak usah menafikan, kalau ada pemilihan mesti ada perpecahan.
"Mengapa kita mesti bagi peluru kepada musuh yang hendak tembak kita? Bila berpecah nanti ada orang nak lawan ketua bahagian, ada orang nak lawan saya. Kalau kalah dia akan keluar parti dan masuk parti sebelah sana.
"Jadi ada kecederaan pada parti jika buat pemilihan, mesti ada (perpecahan), kita tak boleh kata tak ada," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya dalam UMNO apabila pemilihan parti diadakan, Mohamad memaklumkan keutamaannya ketika ini adalah untuk menghadapi PRU15.
"Keutamaan saya adalah hadapi PRU. Itu keutamaan buat masa sekarang, saya hendak parti menang dan Barisan Nasional menang dalam PRU, jadi kita boleh tubuhkan kerajaan yang kuat dan stabil.
"Kalau kalah tidak mengapalah, kita beri kepada orang lain untuk uruskan parti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!