Menteri, timbalan menteri UMNO patut jumpa pemimpin tertinggi parti
SEREMBAN - Menteri dan timbalan menteri UMNO diminta bertemu kepimpinan tertinggi parti terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan mengenai kedudukan mereka.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kabinet atau memiliki jawatan dalam syarikat GLC sepatutnya berbuat demikian bagi mendapatkan panduan sebelum membuat keputusan lanjut.
“Perkara itu saya lihat ada kepincangan dari segi kebijaksanaan, datang jumpa kami bagi dapatkan panduan, hala tuju, pandangan dan nasihat parti, tentu kita akan beritahu elok-elok,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Bersama Tok Mat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat, di sini pada Sabtu.
Melalui laporan FMT, ahli-ahli UMNO yang kini sedang berkhidmat sebagai menteri akan melepaskan jawatan masing-masing menjelang Ogos depan.
Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia termasuklah mereka yang memegang jawatan timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
ARTIKEL BERKAITAN: Menteri UMNO letak jawatan pada Ogos jika Parlimen belum bubar: Tajuddin
Sementara itu, pengerusi UMNO negeri itu berkata, agenda untuk memperkasakan Muafakat Nasional masih diteruskan dan berjalan seperti biasa.
"Mesyuarat di peringkat pusat masih ada, selain jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional yang ditubuhkan itu untuk kita kaji dan melihat cara untuk terus ke depan.
"Bagi saya, apa yang disebut oleh presiden dan timbalan presiden Pas itu, biarlah mereka bertenang dahulu," katanya.
Tambah Mohamad, pihaknya tidak mahu memburukkan lagi keadaan bagi memastikan hubungan Muafakat Nasional terus kekal serta diperkasakan lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!