Pembinaan MRT3 dijangka bermula separuh kedua tahun ini
KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk meneruskan semula Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang yang sebelum ini ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, projek berkenaan akan bermula pertengahan tahun ini dan syarikat Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) diberi tempoh selama tiga bulan untuk melengkapkan kajian laluan.
“Dalam tempoh ini, MRT Corp perlu menyiapkan dan memulakan kajian secara menyeluruh untuk dibentangkan kepada jemaah menteri sebelum ia diluluskan.
“Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan prestasi MRT Corp untuk projek MRT2 yang sedang dilaksanakan ketika ini. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di Stesen MRT Sri Damansara Sentral di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Abd Rahim Bakri; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak;Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Normah Osman; Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Kerajaan, Datuk Dr Amiruddin Muhamed serta Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Sdn Bhd, Datin Norlia Noah.
Projek MRT3 merupakan kesinambungan projek infrastruktur mega yang dilaksanakan kerajaan iaitu MRT dan MRT2 untuk ransangan ekonomi membabitkan jajaran 40 kilometer.
Beliau yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, projek MRT bagi Laluan Putrajaya Fasa Satu adalah sepanjang 17.5 kilometer yang mana ia menghubungkan Stesen MRT Kwasa Damansara ke Stesen MRT Kampung Batu.
Menurutnya, kemajuan pembinaan untuk laluan berkenaan sudah siap hampir 97 peratus dan akan mula beroperasi pada Ogos ini.
“Fasa satu jajaran ini merangkumi 12 stesen membabitkan tempoh perjalanan selama 24 minit sehala.
“Baki jajaran MRT Laluan Putrajaya dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral pula dijangka siap pada Januari 2023,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!