Polis sahkan aktivis Rusia sudah tinggalkan kampung orang asli
IPOH - Aktivis Rusia yang dilaporkan menginap dan mengutip derma tanpa kebenaran disahkan telah meninggalkan Kampung Orang Asli Pos Woh, Tapah sejak 14 Mac lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Valeriya Ashtashova dan anaknya meninggalkan penempatan itu setelah dinasihatkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Tiada sebarang laporan polis dibuat bersabit isu ini setakat ini. Bagaimanapun, polis akan sentiasa pantau sebarang perkembangan," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: JAKOA, pihak berkuasa akan ambil tindakan terhadap aktivis Rusia
Pada Jumaat, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, wanita itu diberi kelulusan untuk mengadakan program Kelas Bahasa Inggeris di kampung itu sejak 14 Disember 2020 namun dibatalkan.
Aktivis terbabit telah menyalah guna dewan di kampung berkenaan untuk dijadikan tempat penginapan, serta membawa individu lain tanpa kelulusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!