Negeri perlu amalkan politik baharu: Saifuddin

Ciapan Saifuddin mengenai politik baharu di Twitter pada Sabtu.
Ciapan Saifuddin mengenai politik baharu di Twitter pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Badan pimpinan negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa negara perlu mengamalkan politik baharu.

Ketuanya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara cirinya politik baharu itu adalah dalam satu gabungan parti politik, tidak wujud satu parti yang dominan dan ada parti kecil yang terpinggir.

Kata beliau, keputusan gabungan dibuat berasaskan perundingan, bukan dominasi satu parti.

"Dalam Barisan Nasional (BN), UMNO parti dominan. Jawatan-jawatan utama BN seperti pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha agung, bendahari, ketua wanita, ketua pemuda, ketua penerangan dipegang UMNO.

"Dalam Perikatan Nasional (PN), ia dikongsi sesama parti komponen," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Sabtu.

Media pada Sabtu melaporkan Muhyiddin berkata, tiada parti yang boleh mendakwa paling dominan dalam era politik baharu.

"Kita telah memasuki era baharu dalam politik negara kita. Tidak ada mana-mana parti yang boleh mendakwa bahawa merekalah parti yang paling dominan dan lebih berhak untuk memegang tampuk kuasa dengan memperkecilkan peranan parti-parti lain. Ini politik lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan maya pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Pengerusi PN Pahang menegaskan, dalam Pakatan Harapan (PH) juga tiada parti yang dominan.

Menurutnya, PH disokong oleh 'majoriti besar golongan minoriti' dan 'hanya minoriti kecil golongan majoriti' menyebabkan ia tidak bertahan lama.

"Saya yakin PN belajar daripada kelemahan BN dan PH, serta sedang membangunkan satu gabungan besar parti-parti politik.

"Gabungan itu menyatukan ummah atau rakyat dengan adil dan saksama, inklusif dan harmoni dalam acuan politik baharu yang berfungsi, prihatin dan stabil dengan dipimpin Tan Sri Muhyiddin," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!