Penubuhan dua Jawatankuasa Perpaduan dimuktamadkan tahun ini

Halimah (tengah) bergambar bersama penerima suntikan vaksin Covid-19 selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin di Dataran Tasik Kluang pada Sabtu. -Foto Bernama
Halimah (tengah) bergambar bersama penerima suntikan vaksin Covid-19 selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin di Dataran Tasik Kluang pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Penubuhan dua Jawatankuasa Perpaduan yang bertujuan memperkasa pembangunan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam negara akan dimuktamadkan tahun ini selepas dibawa ke mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, jawatankuasa tersebut melibatkan Jawatankuasa Exco Perpaduan dan Jawatankuasa Permuafakatan Daerah.

Menurutnya, Jawatankuasa Exco Perpaduan dianggotai semua Exco perpaduan di setiap negeri, tanpa mengira parti sama ada kerajaan atau pun pembangkang.

“Semua mereka akan duduk semeja sebagai ahli jawatankuasa bagi memastikan agenda perpaduan negara dapat direalisasikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin: Memperkasa Kepimpinan KRT Zon Kluang/Batu Pahat/Mersing di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Dataran Tasik Kluang di sini pada Sabtu.

Sementara itu Halimah berkata, pegawai daerah di setiap negeri akan bertindak selaku perantara kerajaan dalam Jawatankuasa Permuafakatan Daerah untuk menyampaikan suara komuniti di kawasan mereka.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, kementerian sedang dalam proses untuk mengagihkan geran berjumlah RM50 juta kepada 8,330 KRT, dengan keseluruhan 250,000 ahli di seluruh negara.

Menurutnya, proses pengagihan geran itu telah bermula di Melaka minggu lepas, melibatkan sebanyak 249 KRT dengan peruntukan berjumlah RM1.49 juta.

“Selepas ini, di Johor, Perak, Selangor dan lain-lain negeri. Apabila geran sudah dimasukkan ke dalam akaun, mereka (KRT) boleh terus memulakan apa-apa perancangan untuk mencapai dasar perpaduan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030, sebagai inisiatif mengukuhkan perpaduan yang bersifat inklusif, jelas dan padu dalam tempoh 10 tahun akan datang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!