100 penghantar makanan terima bantuan minyak percuma

Kok Soo (kiri) membantu mengisi minyak motosikal salah seorang penghantar makanan yang terlibat dalam program Boh Minyak Geng Kita di Alor Setar pada Sabtu.
Kok Soo (kiri) membantu mengisi minyak motosikal salah seorang penghantar makanan yang terlibat dalam program Boh Minyak Geng Kita di Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Penggerak Komuniti Negara Parlimen Alor Setar menyantuni 100 penghantar makanan di sekitar bandar ini dengan mengadakan program Boh Minyak Geng Kita pada Sabtu.

Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Parlimen Alor Setar, Teh Kok Soo berkata, program itu bertujuan untuk menzahirkan penghargaan kepada golongan penghantar makanan yang menjadi antara orang penting sejak negara dilanda pandemik Covid-19 tahun lalu.

Katanya, walaupun program itu kali pertama diadakan namun ia mendapat sokongan daripada semua penghantar makanan di sekitar kawasan berkenaan.

"Kita menyumbang minyak motosikal secara percuma selain memberi kelengkapan pelitup muka dan juga cecair pembasmi kuman.

"Malah kita turut mengambil maklumat mereka termasuk nombor pendaftaran motosikal untuk rekod supaya memudahkan kita merancang lain-lain program pada masa hadapan," katanya ketika ditemui di Stesen Minyak Petron Putra 1, di Jalan Putra, di sini pada Sabtu.

Kok Soo berkata, selain program berkenaan, pihaknya juga merancang pelbagai aktiviti sukan yang bersesuaian dengan golongan muda.

"Ia termasuk pertandingan badminton, bola sepak, sepak takraw dan lain-lain lagi yang mana juga boleh disertai oleh penghantar makanan ini pada waktu lapang mereka.

"Kami juga memperkenalkan slogan Geng Kita untuk menjadikan golongan muda berasa lebih dekat dengan kami supaya pelbagai program dapat dirancang secara bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang penghantar makanan, Mohd Aiman Yusri Mohd Yusof, 20, berkata, dia bersyukur kerana kerja keras mereka selama ini turut dihargai oleh orang ramai termasuk daripada badan bukan kerajaan.

"Selalunya setiap hari saya akan memperuntukkan kira-kira RM20 sehari untuk menampung kos mengisi minyak. Tambahan pula harga minyak makin mahal sekarang ini.

"Alhamdulillah, program yang diadakan hari ini dapat meringankan sedikit kos minyak motosikal yang merupakan salah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian untuk kelancaran urusan kami," katanya yang terlibat dalam pekerjaan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!