Pelajar antarabangsa ditahan, halang tugas penjawat awam

Suspek merakam video selepas tidak berpuas hati dengan pengadu.
Suspek merakam video selepas tidak berpuas hati dengan pengadu.
A
A
A

GOMBAK - Seorang pelajar antarabangsa di sebuah universiti awam, di sini direman selama empat hari bermula Sabtu kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Pada Sabtu, tular rakaman provokasi membabitkan pelajar dari India terhadap polis bantuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang kejadian dilaporkan berlaku Rabu lalu.

Kejadian dipercayai berlaku di pondok pengawal universiti berkenaan ketika pelajar tersebut ingin memasuki kawasan universiti dengan alasan diundang untuk berjumpa dengan rektor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Zainal Mohamed Mohamed berkata, laporan telah dibuat oleh polis bantuan wanita tersebut Khamis lalu susulan penularan video yang dikongsikan pelajar berusia 22 tahun itu ke dalam grup Telegram 'Freedom of Student'.

Menurutnya, pengadu menafikan menyerang suspek seperti didakwa dalam video tersebut.

"Apa yang berlaku sebenarnya adalah suspek meminjam telefon bimbit pengadu dan bercakap lama, apabila diminta, suspek enggan memulangkannya.

"Telefon itu dipinjamkan kepada suspek ketika pengadu menghubungi presiden pelajar untuk membuat semakan sama ada pihak universiti ada mengundang mana-mana pihak berjumpa dengan rektor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pengadu dimaklumkan pihak universiti tidak mengundang mana-mana pihak berjumpa dengan rektor.

Artikel Berkaitan:

"Perkara itu dimaklumkan kepada suspek namun suspek tidak berpuas hati.

"Pengadu kemudian menyerahkan telefon bimbitnya kepada suspek untuk bercakap sendiri dengan presiden pelajar," katanya.

Zainal berkata, pengadu mendakwa pelajar berkenaan membuat rakaman video ketika wanita berkenaan cuba mendapatkan kembali telefon bimbitnya.

Tambahnya, tiada tangkapan dibuat terhadap suspek ketika kejadian atas arahan pihak pengurusan universiti supaya petugas tidak menyentuh mana-mana pelajar di dalam kawasan universiti.

Susulan itu katanya, polis telah menahan suspek di pekarangan dewan auditorium universiti sekitar 4.40 petang pada Jumaat dan telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam video kejadian turut dirampas.

"Hasil siasatan mendapati, suspek merupakan pelajar tahun tiga universiti tersebut. Suspek bertindak merakam video kejadian kerana bimbang tiada orang akan percaya bahawa pengadu telah menyerangnya.

"Dia bertindak memasukkan rakaman video ke dalam grup di Telegram untuk perkongsian dengan pelajar lain," katanya.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan suspek direman hingga Selasa depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!