Kereta rempuh pasar, tiga cedera

A
A
A
IPOH - Tiga pejalan kaki cedera selepas sebuah kereta dipandu seorang warga emas hilang kawalan dan merempuh masuk kawasan Pasar Pagi Klebang Jaya, Chemor di sini pada Sabtu.

Kejadian sekitar jam 9 pagi itu berlaku, apabila kereta jenis Proton Iriz dipandu lelaki berusia 82 tahun cuba mengelak sebuah motosikal yang secara tiba-tiba masuk ke laluannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, pemandu itu yang dalam perjalanan pulang ke rumah terkejut dan cuba mengelak ke kanan sebelum terlanggar sebuah van jenis Toyota Unser yang diletakkan di kanan jalan.

"Akibat hilang kawalan, kenderaan itu juga telah melanggar gerai penjaja sebelum mengenai dua lelaki masing-masing berusia 64 dan 70 tahun serta seorang wanita berusia 55 tahun yang sedang berjalan kaki.

"Ketiga-tiga pejalan kaki tersebut mengalami luka di pipi kiri, dahi dan kepala serta lebam di bahagian badan manakala pemandu tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan mendapati, pemandu tidak sempat menekan brek kereta ketika mengelak kehadiran motosikal yang belum dikenal pasti itu.

"Polis telah merakam percakapan pemandu kereta berkenaan dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk dihantar ke Puspakom.

"Semua mangsa yang cedera telah menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan motosikal yang terlibat.
Artikel Berkaitan:


"Siasatan kes dibuat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!