MIC akan tinggalkan BN? - Penganalisis
ALOR SETAR - MIC memberi gambaran awal seolah-olah parti itu tidak bersetuju dengan keputusan UMNO yang memutuskan Barisan Nasional (BN) akan bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ini kerana Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran telah menegaskan BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu digabungkan selain parti itu akan terus menyokong pentadbiran kerajaan PN diketuai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga keputusan muktamad Majlis Tertinggi BN diumumkan.
Ditambah pula, jemputan MIC kepada Muhyiddin selaku Pengerusi PN untuk berucap pada Perhimpunan Agung MIC pada Jumaat disaluti pujian MIC kepada beliau kerana melantik wakil MIC sebagai menteri dan senator walaupun nama mereka tidak dicadangkan oleh BN.
Menurutnya, kenyataan itu memberikan persepsi bahawa MIC tidak akan bersetuju dengan hasrat UMNO untuk bertanding bersendirian.
“Tatkala UMNO memutuskan BN akan bertanding bersendirian, tentulah tidak sukar untuk kita ramalkan hala tuju MIC selepas ini. Namun persoalan yang masih berlegar, benarkah BN akan hadapi PRU15 secara sendirian seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan apakah keputusan itu dibincangkan dan mendapat persetujuan tiga rakan komponen BN, iaitu MCA, MIC dan PBRS?” katanya.
Kamarul Zaman berkata, keputusan UMNO itu bukan sahaja memberi kesan kepada parti Melayu itu, namun turut memberi kesan besar kepada rakan-rakan komponennya.
“Jangan pula UMNO asyik bincang hal luaran parti, hal dalaman sendiri diketepikan, bagaimana BN mampu kekal utuh sekiranya rakan komponennya turut tinggalkan gabungan itu (BN) dan memilih PN menerusi penjajaran politik baharu,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: MIC kekal sokong kerajaan PN
Menurutnya, UMNO perlu memikirkan semasak-masaknya keputusan berkenaan kerana tindakannya itu turut menjejaskan masa depan parti politik yang bersamanya di bawah BN.
“Apakah akan berulang insiden memalukan 5 Mac lalu, yang menyaksikan tiga rakan komponen BN (MCA, MIC dan PBRS) secara terbuka menyanggah kenyataan Presiden UMNO bahawa BN merayu Yang di-Pertuan Agong supaya menitahkan sidang Parlimen diadakan segera?
UMNO wajar mengkaji kenyataan-kenyataan dibuat pemimpin MIC dan MCA sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, sebagai contoh, menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU), Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), telah menyebut dalam Webinar PINTAR 5 berhubung hala tuju UMNO.
“Profesor Dr Sivamurugan nyatakan UMNO harus meningkatkan kerjasama dalam BN, banyak tumpuan diberikan secara berlebihan oleh UMNO ke atas hubungan di luar BN tetapi apakah yang dilakukan untuk pengukuhan BN sendiri?” katanya.
Menurutnya, ternyata jangkaan Profesor Dr Sivamurugan tepat kerana ucapan dasar Ahmad Zahid memberikan tumpuan secara berlebihan terhadap hubungan di luar BN tetapi tidak menggariskan langkah-langkah mengukuhkan BN.
“Hanya beberapa perkara dalam ucapan dasar presiden menyentuh tentang BN; iaitu ucapan terima kasih kepada rakan komponennya, yang setia bersama UMNO sejak 65 tahun lalu. Seterusnya BN harus siap-siaga kerana BN menghadapi PRU15 secara bersendirian.
Malah, Ahmad Zahid turut berkata,"adakah mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina ‘political reset’ yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini","katanya.
Kamarul Zaman turut memetik kenyataan Vigneswaran sebelum ini yang seolah-olah meragui kemampuan Ahmad Zahid sebagai ‘kapten perang BN’.
“Vigneswaran bertanya siapa akan menerajui BN pada PRU akan datang, siapa akan diangkat jadi Perdana Menteri, siapa terajui kerajaan kelak. Beliau juga bertanya mengapa jika UMNO dan BN boleh bekerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional kenapa tidak dengan Bersatu untuk tubuhkan kerajaan.
Lazimnya ia tidak dipersoalkan malah diterima sepenuhnya Presiden UMNO selaku Pengerusi BN menjadi ‘kapten perang BN’ sekali gus Perdana Menteri,” katanya.
Malah Presiden MCA turut membayangkan masih berbelah-bahagi untuk mendukung hasrat UMNO keluar daripada kerajaan.
“Sebab itu UMNO wajar nyatakan pendirian bersama di bawah BN, di mana bila UMNO mahu bersendirian dan membina ‘political reset’, apakah hasrat itu didukung MCA, MIC dan PBRS?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!