YDP MDHS terima PhD Pengurusan Persekitaran

Azhar Mohamed Ali
Azhar Mohamed Ali
A
A
A

BANGI - Kehilangan isteri tersayang tidak pernah mematahkan semangat Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Dr Azhar Mohamed Ali untuk meraih kejayaan cemerlang di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Bidang Pengurusan Persekitaran.

Azhar, 47, antara dua daripada enam graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Pengurusan Persekitaran memperoleh PhD dengan status 'Grad On Time' (GOT) dan dianugerahkan Anugerah Tesis Cemerlang oleh pihak universiti.

Menurut Azhar, pemergian isterinya, Allahyarhamah Noreana Jamal, akibat penyakit asma kira-kira tiga tahun lalu di samping kesemua anaknya yang masih kecil antara ujian yang terpaksa ditempuhnya sepanjang tempoh pengajian.

"Alhamdulilah semuanya berjalan lancar dan saya akhirnya dapat menyiapkan penyelidikan PhD," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Bapa empat anak itu berkata, disiplin yang tinggi antara resipi kejayaan beliau untuk meraih kejayaan cemerlang.

"Saya amat berterima kasih kepada seluruh ahli keluarga, pihak UKM, penyelia dan rakan yang sentiasa membantu dan berdoa untuk kejayaan ini," katanya.

Istiadat Konvokesyen UKM ke-48 membuka tirainya pada Sabtu hingga 12 April di Kampus Induk UKM, Bangi.

Seramai 6,166 graduan menerima anugerah masing-masing yang dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!