Bad kalis kritikan
BADDROL Bakhtiar mengakui belum berada pada tahap terbaik walaupun sekali lagi mencipta sensasi ketika membantu Kedah Darul Aman (KDA) FC menewaskan Sri Pahang FC 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Menurut Baddrol, dia masih belum puas dengan apa yang dilakukannya ketika ini dan percaya mampu menyumbang aksi lebih baik kepada KDA FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
“Pertama sekali saya bersyukur kerana dapat membantu pasukan mendapat tiga mata dan menewaskan antara pasukan kuat dalam saingan liga musim ini.
“Namun, saya masih belum puas kerana saya tahu saya masih mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan dalam setiap perlawanan yang akan kami harungi.
“Lagipun, permainan bola sepak ini bukanlah permainan individu dengan rakan-rakan lain dalam pasukan juga banyak menyumbang untuk meningkatkan prestasi pasukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Kapten KDA FC berusia 33 tahun itu sekali lagi menampilkan permainan berkualiti apabila meledak dua gol dalam pertemuan menentang Sri Pahang FC, sekali gus meneruskan rentak cemerlangnya selepas menyumbat satu gol ketika Lang Merah menewaskan PJ City FC 3-1 pada 17 Mac lalu.
Baddrol berkata, dia menjadikan kritikan yang dilemparkan kepadannya selepas gagal menampilkan prestasi cemerlang pada awal musim ini sebagai satu cabaran untuk bangkit.
Tonggak tengah berpengaruh Kedah itu juga mengakui kesabarannya dalam menghadapi kritikan akhirnya membuahkan hasil dengan dia mampu kembali berada pada tahap terbaik permainannya.
“Setiap kritikan yang dilontarkan kepada saya itu saya tidak ambil kisah kerana ia adalah lumrah dalam bola sepak. Malah, kritikan itu saya ambil sebagai cabaran dalam hidup ini.
“Kalau kita ambil sebagai sesuatu yang negatif, maka ia akan menjadi negatif. Tetapi jika saya ambil ia sebagai sesutau yang positif, maka ia akan menjadi kelebihan buat saya. Apa yang saya boleh katakan, kritikan itu tidak membunuh semangat saya,” katanya.
Pada masa sama, Baddrol juga tidak menjadikan faktor usia sebagai penghalang untuknya bersaing dengan pemain muda di jentera tengah skuad dari utara tanah air itu.
“Dari segi latihan memang masih sama seperti sebelum ini. Cumanya saya lebih fokus dalam setiap sesi latihan dan perlawanan selain saya pastikan keadaan mental dan fizikal saya cukup bersedia sebelum turun beraksi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!