Pemain Liverpool pamer aksi cemerlang
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Arsenal di Emirates pada awal pagi Ahad berpunca daripada aksi cemerlang yang dipamerkan kesebelasan The Reds.
Menurutnya, biarpun skuad kendaliannya itu bermula dengan agak perlahan, namun sebaik berjaya mengawal bola dan menguasai perlawanan, kesebelasan pemain dilihat mula mempamerkan aksi terbaik masing-masing.
“Walaupun kami agak ‘tenggelam’ pada awalnya, kami akhirnya berjaya menewaskan Arsenal menerusi cara permainan kami terutamanya menerusi serangan-serangan balas yang dilakukan di sepanjang perlawanan.
“Jika ditanya itulah jawapan saya iaitu pemain-pemain telah beraksi dengan cemerlang di sepanjang perlawanan ini sehingga menghasilkan kejayaan,” katanya.
Pada perlawanan berkenaan, Liverpool perlu menunggu hingga minit ke-64 bagi memecah kebuntuan jaringan menerusi pemain gantian, Diogo Jota sebelum penyerang sensasi, Mohamed Salah menjaringkan gol kedua pada minit ke-68.
Jota sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol ketiga The Reds pada minit ke-82 bagi mengesahkan kemenangan.
Kemenangan itu membuka ruang buat Liverpool untuk bersaing merebut kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam usaha menempah slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta memberikan kredit kepada Liverpool atas aksi hebat yang dipamerkan selain turut membidas aksi hambar kesebelasan The Gunners pada perlawanan berkenaan.
“Kekalahan ini agak mengejutkan kerana kita pernah menewaskan Chelsea, Spurs selain mencatatkan keputusan seri dengan Manchester United.
“Apa pun, kali ini Liverpool ternyata telah mempamerkan aksi terbaik mereka berbanding kita dan saya juga tidak suka mendengar sebarang alasan akibat kekalahan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!