Aplikasi i-Tegur bakal jadi saluran aduan rakyat
KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-73 hari ini meluluskan kertas cadangan untuk menjadikan aplikasi i-Tegur sebagai saluran bagi rakyat membuat sebarang aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan masing-masing.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini berkata pengguna boleh menghantar aduan bergambar bersama lokasi tepat melalui telefon pintar bagi membolehkan PBT mengambil tindakan terhadap sebarang aduan diterima.
"Aplikasi ini akan membantu PBT dalam pengurusan aduan yang lebih cekap dan cepat seiring denganperubahan demografi dan gaya hidup masa kini,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu turut meluluskan tiga kertas cadangan lain, melibatkan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Pengkompaunan Kesalahan) dan Garis Panduan Pengurusan dan Penyelenggaraan Kolam Renang di kawasan PBT.
Selain itu, kertas cadangan yang turut diluluskan ialah Garis Panduan Pemantauan Kualiti Air Kolam Renang oleh Kementerian Kesihatan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!