Tiga geng mat rempit tumpas
KLANG - Polis menumpaskan tiga kumpulan mat rempit dalam Operasi Samseng Jalanan di Jalan Persiaran Raja Muda Musa, di sini, pada Sabtu.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu berjaya menahan seramai lapan penunggang motosikal berusia 16 hingga 20 tahun kerana melakukan aksi berbahaya.
"Tangkapan pertama membabitkan dua penunggang, tangkapan kedua melibatkan lima penunggang dan tangkapan terakhir adalah seorang.
"Kesemua penunggang terbabit dikesan melakukan aksi zig-zag, bersaing sesama sendiri dan menundukkan badan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua penunggang itu adalah daripada kumpulan yang berbeza.
Tambahnya, pihaknya menyita kesemua motosikal terlibat antaranya jenis SYM185VF3I, Yamaha Legenda dan Honda Wave 110.
"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!