Kerajaan Pahang didesak nyatakan pendirian terhadap Undi 18

Ahmad Zarul (tengah) mahu kerajaan Pahang menyatakan pendirian mengenai Undi18 pada sidang akhbar di Taman Kerang pada Ahad.
Ahmad Zarul (tengah) mahu kerajaan Pahang menyatakan pendirian mengenai Undi18 pada sidang akhbar di Taman Kerang pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa menyatakan pendirian jelas sama ada menyokong atau membantah mengenai status kelayakan mengundi pada usia 18 tahun agar suara generasi muda tidak dipinggirkan.

Jurucakap Sekretariat Gerak Undi 18, Ahmad Zarul Afiq Arifudin berkata, golongan muda perlu diberikan hak dan kepercayaan untuk menentukan masa depan mereka menerusi pilihan raya.

"Jadi, kita desak kerajaan Pahang untuk menzahirkan sokongan terhadap undi 18 (Undi 18) dengan cara melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kalangan belia.

"Kerajaan Pahang boleh berbuat demikian kerana enakmen mengenai lantikan ADUN tanpa melalui proses pilihan raya sudah diluluskan oleh kerajaan Pahang pada November tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai penangguhan pelaksanaan Undi 18 di Taman Kerang, pada Ahad.

Sembilan wakil belia, termasuk ADUN Ketari, Young Syefura Othman;Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pahang, Malani Manimaharan dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Perikatan Pelajar Malaysia Global, Immaculata V James.

Pada 26 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguh pelaksanaan Undi 18 atas alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan SPR untuk melaksanakannya.

Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran ditetapkan sebelum ini iaitu pada Julai tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zarul Afiq berkata, kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk menangguhkan pelaksanaan aundi18 kerana ia sudah diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, dua tahun lalu.

Katanya, keputusan penangguhan pendaftaran pemilih automatik terhadap Undi 18 memberi gambaran jelas bahawa kerajaan tidak berani berdepan suara anak muda.

"Kerajaan tidak perlu takut kepada anak muda kerana kita adalah anak muda yang biasa-biasa sahaja. Kita bebas dan mempunyai hak untuk mengundi.

"Selagi kita tidak diberi peluang untuk mengundi, kita tidak dapat menunjukkan kematangan dalam berpolitik," katanya

Dalam pada itu, Ahmad Zarul Afiq mengemukakan cadangan supaya kerajaan Pahang meminda Perkara 19 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan mengenai had umur ADUN dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Menurutnya, ia sebagai bukti komitmen kerajaan Pahang menyokong pelaksanaan Undi 18.

"Kita akui walaupun sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dapat diadakan berikutan pelaksanaan proklamasi darurat. Namun jika kita lihat Perkara 11(b) dan 11(c) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri mempunyai kuasa menjalankan kuasa eksekutif dan perundangan.

"Jadi, kita harap kerajaan Pahang dapat mengambil tindakan sewajarnya demi menyokong pelaksanaan Undi 18," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!