PN ada perancangan tersendiri selesai masalah negara

Mustapa (kiri) ketika sidang media selepas Program Jelajah Malaysia Prihatin di Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa.
Mustapa (kiri) ketika sidang media selepas Program Jelajah Malaysia Prihatin di Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun tiada manifesto jelas, namun kerajaan Perikatan Nasional (PN) tetap mempunyai perancangan tersendiri bagi memastikan setiap masalah dihadapi negara dapat diselesaikan dengan baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan di kabinet melibatkan wakil-wakil yang ada dalam kerajaan seperti Pas, UMNO, Bersatu, MIC, MCA dan rakan-rakan lain.

"Kerajaan sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian bagi masalah-masalah yang dihadapi negara dan kita ada hala tuju pendek, sederhana serta jangka masa panjang. Untuk jangka pendek, sudah pasti belanjawan tahun ini yang diumumkan kerajaan tahun lalu. Keduanya ialah pakej-pakej rangsangan melibatkan jumlah yang besar.

"Ini semua hala tuju kita, menstabilkan ekonomi dan kesihatan supaya penularan pandemik Covid-19 dapat dikawal dengan baik," katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Malaysia Prihatin di Universiti Malaysia Kelantan, di Pengkalan Chepa pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Marzuk Shaary dan Pengarah Penerangan Kelantan, Azhar Ismail.

Mustapa mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai hala tuju disebabkan tiada manifesto jelas.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi perancangan sederhana pula ialah melibatkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), walaupun ia masih belum dibentangkan ke Parlimen.

Katanya, namun begitu, beberapa elemen RMK12 telah dilaksanakan umpamanya pada Februari lalu Perdana Menteri mengumumkan satu 'blueprint' atau rangka tindakan pendigitalan dan sudah mula dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"Untuk jangka masa panjang pula kita ada wawasan kemakmuran bersama untuk 10 iaitu 2020-2030.

"Kita ambil kira semua pandangan dan lihat ini sebagai konstruktif, kita memperbaiki kelemahan yang ada dan kerajaan terbuka menerima pandangan semua pihak demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!