Harga ikan RM1,400 seekor
KOTA BHARU – Kelah atau mahseer dari dalam keluarga Cyprinidae merupakan antara spesies ikan bernilai tinggi dan boleh mencapai sehingga ribuan ringgit seekor.
Tidak hairanlah jika ia menjadi buruan kaki pancing sama ada untuk dijual atau dijadikan juadah bagi golongan yang mampu menikmati sajian mewah ini.
Mana tidaknya, seekor ikan kelah liar dijual sebanyak RM250 hingga RM350 sekilogram atau puratanya RM1,000 seekor.
Tidak terkecuali, seorang pemuda di Kampung Taman Pemuda, Wakaf Stan Kubang Kerian, Firdaus Wahab, 27, menjadikan hobi memelihara ikan sebagai sumber pendapatan sampingan, sejak tiga tahun lalu.
Firdaus yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin di Kota Bharu berkata, dia mula berjinak dengan dunia perniagaan, selepas mendapati ikan air tawar ini mampu memberi pulangan yang lumayan.
Setakat ini katanya, dia memelihara empat jenis ikan kelah iaitu kelah merah bara, biru, emas dan spesies luar negara.
Kelah biru paling mahal
Katanya, kelah biru mencatatkan harga termahal kerana ia memiliki warna yang menarik berbanding kelah lain.
“Jika kelah biru liar bersaiz kecil iaitu kurang daripada dua kilogram, ia dijual sebanyak RM250 sekilogram.
“Namun kalau ia besar iaitu boleh mencapai lebih tiga kilogram, harganya akan meningkat kepada RM350 sekilogram iaitu RM1,400 seekor,” katanya.
Firdaus berkata, harga yang ditetapkan berbeza mengikut sukatan kerana ikan yang memiliki berat lebih dua kilogram, dikatakan mempunyai tekstur yang enak dan berlemak.
Kebiasaannya Firdaus berkata, kelah biru mempunyai purata berat tidak lebih empat kilogram manakala kelah merah bara dewasa boleh mencapai sehingga empat kali ganda berat kelah biru.
Ini kerana katanya, walaupun ia boleh mencapai sehingga usia 20 tahun, namun tumbesaran kelah biru agak perlahan jika dibandingkan dengan kelah merah bara.
Bekalan daripada Orang Asli
Jelas Firdaus, dia mendapat bekalan daripada penduduk tempatan termasuk orang asli di Gua Musang, Endau Rompin, Terengganu dan Thailand.
Katanya, kelah dari Terengganu mendapat permintaan tinggi berbanding negeri lain.
Firdaus berkata, ia mungkin berlaku kerana faktor cuaca, persekitaran dan sumber air sehingga mempengaruhi corak serta tekstur ikan liar tersebut.
Menurutnya, dia mendapat permintaan tinggi setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina dan majlis pertabalan raja.
“Kebanyakan pelanggan saya beli ikan untuk dijadikan juadah bagi sambutan perayaan atau meraikan majlis sempena pengurniaan darjah kebesaran Diraja.
“Saya juga pernah ada pelanggan, beli ikan kelah mencecah sampai ribuan ringgit, semata-mata nak penuhi permintaan isteri yang mengidam ketika mengandungkan anak sulung,” katanya.
Bagi memastikan kesegaran ikan yang dijual, Firdaus berkata, dia hanya akan mencari kelah liar, sekiranya mendapat permintaan daripada pelanggan.
Penjagaan mudah
Firdaus yang kini memelihara lebih 100 kelah berkata, dia turut menjual anak ikan sebagai haiwan peliharaan di rumah.
Menurutnya, harga ditetapkan mengikut saiz iaitu RM35 bagi empat inci kelah manakala RM300 seekor bagi kelah berukuran 10 inci.
Katanya, dia menitik beratkan penjagaan kelah dalam akuarium kerana ikan ini memerlukan air yang jernih dengan suhu yang bersesuaian.
“Saya selalu galakkan peminat yang mahu berjinak dengan pemeliharaan ikan akuarium kerana kelah tidak memerlukan penjagaan yang khusus.
“Kita cuma kena rajin untuk memastikan airnya jernih dan tapisan kotoran berfungsi dengan baik,” katanya.
Antara ikan kelah yang dipelihara mendapat pemintaan tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!