MAFI jamin bekalan makanan cukup ketika Ramadan
TUMPAT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan untuk sambutan Ramadan mencukupi bagi memenuhi permintaan umat Islam di negara ini sepanjang tempoh tersebut.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kerajaan sentiasa membuat pemantauan dan pengukuran sebenar bagi memastikan stok makanan negara sentiasa cukup.
"Jadi orang ramai tidak perlu khuatir tentang perkara itu terutama bekalan bahan mentah seperti ikan, ayam dan daging," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MAFI Prihatin Nelayan Parlimen Tumpat di Jeti Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Che Mas di sini pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Menurutnya, selain itu MAFI sudah membuat persiapan awal sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan bekalan sentiasa cukup.
"MAFI turut mengimport bekalan dari luar negara bagi memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, MAFI ketika ini sedang merangka beberapa pelan bagi mengatasi kenaikan harga makanan ternakan.
Katanya, bagaimanapun buat masa ini negara terpaksa bergantung kepada import bahan itu bagi memenuhi keperluan.
"Kita akan terus berusaha untuk mengatasi masalah itu dengan sebaik mungkin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!