Ambil tindakan tegas terhadap 34 pegawai 'dibela' Nicky Liow
KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menggesa agensi penguat kuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap 34 pegawai dan anggota yang didakwa 'dibela' Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.
Musa berkata, pihak berkenaan harus mengambil tindakan terhadap individu terbabit tanpa mengira pangkat apabila mendapati mereka melakukan kesalahan.
"Semasa saya (menjadi Ketua Polis Negara), beberapa pegawai tidak kira pangkat turut dikenakan tindakan. Jika tiada tindakan, masalah itu akan semakin besar," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Persatuan Keselamatan Perindustrian Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWISS) di sini pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: EAIC tidak terlibat siasatan 34 pegawai 'dibela' Nicky Liow
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Nicky, 33, yang berada dalam buruan lolos daripada serbuan Operasi Pelican 3.0 berikutan berlaku kebocoran maklumat.
Nicky yang juga suspek utama dipercayai mengetahui maklumat mengenai operasi yang bakal dibuat Polis Kontinjen Johor pada 20 Mac lalu itu daripada pegawai, anggota polis dan agensi penguat kuasa lain yang berada di bawah kawalannya.
Seorang bekas timbalan pendakwa raya juga dipercayai berada dalam kawalan lelaki itu.
Dalam pada itu, Musa turut mengulas mengenai usaha membersihkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah kontrak Abdul Hamid tamat pada 3 Mei ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PDRM mohon kerjasama Interpol buru Nicky Liow
"Sesiapa pun yang menggantikan Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara, individu itu harus memastikan usaha membersihkan pasukan itu berterusan," katanya.
Beliau berkata, harus ada kesinambungan dalam menangani masalah integriti terutama dalam isu kartel dalam pasukan PDRM.
"Abd Hamid telah banyak berusaha untuk meningkatkan integriti dalam PDRM, tetapi terserah kepada penggantinya untuk meneruskan usaha tersebut.
"Ketika saya bersara, saya membuat rancangan lima tahun untuk meningkatkan pasukan PDRM, saya telah menyerahkan kepada pengganti saya untuk meneruskannya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kompromi pegawai sekongkol dalang Geng Nicky: KP Imigresen
Dalam perkembangan berasingan, Musa yang juga Pengerusi SWISS berkata, misi persatuan itu adalah untuk mengembangkan industri keselamatan yang maju dari segi teknologi serta berdaya saing.
"SWISS telah aktif bekerja dengan masyarakat, badan bukan kerajaan agensi penguatkuasaan dan institusi pendidikan untuk mengadvokasi pendekatan baharu dalam berhadapan cabaran pada masa kini," katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu melibatkan perubahan 'minda produktif' dalam pengurusan dan operasi keselamatan.
"Dengan cara ini, industri keselamatan dapat membangun dengan teknologi digital," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pekerja Industri Kawalan Keselamatan Malaysia, Khairul Nizam berkata, pekerja industri keselamatan juga akan melihat peningkatan status mereka dan membuang stigma yang berkaitan dengan kerja sebagai pengawal keselamatan.
"Kesatuan Pengawal Keselamatan juga berharap inisiatif ini akan membawa kepada modal insan yang lebih cekap dan berkemahiran dalam industri keselamatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!