Raja Perlis berkenan rasmi Program Transformasi Kampung

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat Kampung Seberang Ramai di sini hari ini. - Foto Bernama
Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat Kampung Seberang Ramai di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PERLIS - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Ahad berkenan melancarkan Program Transformasi Kampung, di Kampung Seberang Ramai di sini yang dijangka mampu menjadi tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lalilatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Hadir sama ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Exco kerajaan negeri.

Pada program berkenaan, baginda turut berkenan melawat tujuh kampung terlibat iaitu Kampung Baru Seberang, Kampung Tandiap, Kampung Hujung Tanjong, Kampung Tengah, Kampung Seberang Alor, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Sementara itu, Exco Pelancongan Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, program yang telah mengubah kampung terlibat agar lebih ceria dan bersih yang dikenali sebagai Rumah Pelangi itu dilihat mampu menjadi satu produk pelancongan baharu di negeri ini.

“Program transformasi yang bermula sejak hujung tahun lalu itu melibatkan 184 rumah di kawasan tersebut yang merupakan inisiatif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP).

"Ia secara tidak langsung membangunkan ekonomi penduduk di kawasan ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Seorang penduduk Kampung Seberang Alor, Hatijah Halim, 66, yang lebih tiga dekad menetap di kampung itu berkata, beliau sangat teruja dengan perubahan kampung itu yang lebih harmoni dan indah berbanding sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Dulu kawasan ini tak ubah seperti kawasan setinggan nelayan yang uzur namun kini sudah menjadi begitu indah.

"Warna-warni rumah di kampung ini mewujudkan suasana berbeza dan kelihatan lebih kondusif walaupun sekadar sebuah perkampungan nelayan," katanya.

Turut berkongsi pendapat sama ialah Hussin Abu Samah, 56, seorang nelayan yang mengakui bahawa transformasi kampungnya itu telah membangkitkan semangatnya mencari rezeki di laut selain bangga rumahnya turut dicat indah dan menjadi tumpuan pelancong untuk bergambar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!