KKM kaji punca rakyat kurang daftar vaksin
SEGAMAT - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencari dan mengenal pasti faktor yang menyebabkan sebahagian besar rakyat di negara ini masih belum mendaftar untuk suntikan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, KKM menyasarkan 70 hingga 80 peratus penduduk Malaysia mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, namun sehingga kini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.
“Saya tidak berpuas hati lagi. KKM masih belum berpuas hati, kemungkinan besar KKM akan mencari punca sebab apa mereka tidak daftar. Adakah kempen tidak cukup kuat atau mereka takut atau mahu tunggu dan lihat? Ada juga yang dakwa vaksin begitu begini.
Atau adakah mereka tidak dapat liputan aplikasi MySejahtera di kawasan masing-masing atau kurang pengetahuan. Setakat ini, 7 juta (yang berdaftar) masih rendah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Vaksinasi Covid-19 ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ Peringkat Daerah Segamat di sini, hari ini.
Katanya, KKM berharap mereka yang mendaftar akan meningkat sebelum fasa kedua suntikan vaksin Covid-19 bermula 17 April ini bagi mengelak kesulitan berlaku di fasa akhir pemberian suntikan vaksin berkenaan.
Dr Adham berkata, pendaftaran secara manual di pejabat kesihatan, klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta juga telah dibuka bagi memudahkan penduduk yang tidak mempunyai kemudahan teknologi dan capaian internet untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin yang diberi secara percuma.
Dalam pada itu, beliau berkata, keberkesanan suntikan vaksin telah terbukti apabila statistik petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 menunjukkan penurunan.
Katanya, 6,087 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan direkodkan sehingga semalam (Ahad) dengan jururawat dicatatkan jumlah yang tertinggi iaitu 2,276 kes atau 37 peratus diikuti pegawai perubatan 816 kes atau 13 peratus. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!