PKR cabang, negeri sudah kemuka calon

Saifuddin (tiga dari kiri) menyerahkan bendera PKR sebagai gimik pelancaran jentera Pilihan Raya PKR Cabang Tambun selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun di sebuah hotel pada Ahad.
Saifuddin (tiga dari kiri) menyerahkan bendera PKR sebagai gimik pelancaran jentera Pilihan Raya PKR Cabang Tambun selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun di sebuah hotel pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Hampir semua Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri sudah mengemukakan nama untuk dipertimbangkan sebagai calon mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun rundingan kerusi belum muktamad, himpunan nama-nama disenaraikan itu sedang dalam proses tapisan dan ia memakan masa.

Menurutnya, senarai nama tersebut dicadangkan di peringkat cabang dan pimpinan PKR negeri sebelum kemudian dihantar ke pusat untuk dipertimbangkan.

"Kita sudah menerima hampir 90 peratus daripada senarai yang diangkat oleh negeri dan cabang. Prosesnya bermula di peringkat cabang, negeri hantar (pencalonan) kepada PKR pusat.

"Hampir kesemua negeri sudah hantar kepada kita, cuma proses tapisan itu makan masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Saifuddin berkata, semua kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 akan dirunding bersama oleh tiga parti di dalam Pakatan Harapan (PH).

Katanya, semua kerusi yang ditinggalkan Bersatu ketika bersama PH boleh dituntut oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerusi Parlimen Tambun akan dimasukkan di dalam senarai dalam kerusi yang akan dirunding untuk PKR bertanding pada PRU15 nanti.

"Oleh kerana dahulu kerusi Parlimen Tambun dimenangi oleh saudara Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dan Bersatu, tetapi kini Bersatu tidak lagi bersama PH. Persefahaman kita adalah, semua kerusi yang ditandingi Bersatu sama ada menang atau kalah, kerusi-kerusi ini boleh dituntut oleh tiga parti yang ada dalam PH.

"Sudah tentu apabila kita nak buat tuntutan kita akan lapik dengan rekod kekuatan cabang dan saya akan mengambil maklum perkara disebut," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin mengingatkan semua cabang memperkukuhkan parti dengan menambah keahlian dan ranting.

Katanya, usaha itu penting kerana kekuatan parti tidak boleh bergantung kepada kelemahan parti lawan semata-mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!