Saingan MHL 2021 berjalan lancar
KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) berpuas hati dengan kelancaran perjalanan saingan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun ini yang diadakan secara gelembung sukan sepenuhnya dengan pematuhan prosedur operasi Standard (SOP) yang ketat.
Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal berkata, liga tersebut mencapai objektifnya selain turut memuji kerja keras yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat memastikan kelancaran kejohanan itu.
"Proses penganjuran TNB MHL 2021 mencapai objektif dan ia terbukti apabila tiada jangkitan Covid-19 berlaku samada melibatkan pemain atau pegawai pasukan atau pegawai pertandingan mahupun jawatankuasa penganjur KHM.
"Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan liga ini yang kita tahu tidak mudah kerana berlangsung dalam keadaan gelembung sukan.
"Saya terharu dengan pengorbanan semua pihak dan kita akan terus berusaha untuk memajukan sukan hoki di negara kita ini," katanya.
Saingan TNB MHL 2021 yang melabuhkan tirainya pada Sabtu diadakan secara gelembung sukan sepenuhnya dengan pematuhan SOP yang ketat bagi mengelak penularan jangkitan Covid 19.
Dalam saingan kali ini, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih dua kejuaraan dengan muncul juara Piala Sumbangsih dan juara Liga MHL, manakala Terengganu Hockey Team (THT) merangkul kejuaraan Piala TNB.
Bagi kategori wanita pula, UniKL Ladies yang hadir sebagai pendatang baharu menjuarai saingan liga, manakala PKS Uniten-KPT berjaya mempertahankan kejuaraan PIala Vivian May Soar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!