Johor Darul Ta'zim II tunjuk taring benam Projek FAM-MSN
SHAH ALAM - Johor Darul Ta’zim II membawa balik tiga mata penuh pada perlawanan tunggal Liga Premier malam ini selepas menundukkan Projek FAM-MSN 5-0 di Stadium UiTM, di sini.
Pada separuh masa pertama, Johor Darul Ta’zim II mengasak kubu lawan bertubi-tubi yang menyaksikan Projek FAM-MSN hanya mampu bertahan agar tidak dibolosi.
Johor Darul Ta’zim II membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi Fernando Rodriguez Ortega sebelum ketua pasukannya, Nicolas Alberto Fernandez menewaskan penjaga gol Projek FAM-MSN, Mohamad Nabil Asyraf Ramli, sekali lagi seminit kemudian.
Gol ketiga Johor Darul Ta’zim II diperoleh pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi pemain pertahanan Muhammad Firdaus Ramli.
Pada babak kedua, Fernando menambah jaringan Johor Darul Ta’zim II pada minit ke-56 dan ke-58 untuk melengkapkan hatrik buat dirinya malam ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!