Sanggup beri rasuah kerana mahukan projek
SHAH ALAM - Ekonomi merosot menyebabkan semua syarikat berlumba-lumba untuk mendapatkan projek bagi membayar gaji pekerja dan menyara hidup.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, perkara tersebut menyebabkan rasuah berlaku bagi mengurangkan persaingan antara syarikat lain.
Menurutnya, rasuah berlaku di seluruh dunia tanpa mengira status sesebuah negara tetapi berbeza dari segi indeks sama ada tinggi atau sebaliknya.
“Apabila kerja kurang, ekonomi merosot. Syarikat pula perlu hidup untuk membayar gaji pekerja dan mereka semua berlumba untuk mendapat projek.
“Dalam keadaan kini, projek sangat kurang atau terhad. Maka terbukalah rasuah supaya kurang bersaing dan senang untuk mendapatkan projek,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Selain itu, ditanya berkaitan pilih kasih dalam mendapat projek, beliau berkata, kontraktor yang dipilih selalunya memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh jabatan tersebut.
“Kontraktor yang dipilih pihak atasan selalunya memenuhi syarat dan layak mengikut SOP (prosedur operasi standard) jabatan.
"Sekiranya ada unsur rasuah boleh laporkan terus pada pihak berkuasa yang telus,” ujarnya.
Mohamed Fadzill mencadangkan, bagi mengelakkan rasuah berlaku di antara kontraktor kecil dan G1, cabutan undi perlu dilakukan bagi mendapatkan kerja atau sesebuah projek yang berkaitan.
Tambahnya, PKMM boleh dijadikan saksi semasa kerja cabutan undi dijalankan bagi mendapat keadilan tersebut.
Selain itu, bagi mengelakkan monopoli dalam kalangan kontraktor besar, kajian terperinci perlu dilakukan dan dicadangkan satu jabatan hanya terdapat seorang kontraktor bagi melarang orang yang sama.
“Cadangan saya untuk mengelak rasuah bagi kontraktor kecil, G1 perbanyakkan kerja cabutan undi dan saksi semasa cabutan itu.
"Bagi kontraktor yang besar perlu kajian siapa 'player' dan satu jabatan seorang kontraktor sahaja supaya bukan orang yang sama,” katanya.
Beliau menyokong penuh kempen Rasuah Busters untuk membantu membanteras rasuah dan kartel yang berlaku dalam pelbagai sektor.
Katanya, gerakan tersebut amat diperlukan bagi memastikan negara kembali pulih dalam masalah rasuah yang telah lama bertapak ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!