Siakap senohong gelama ikan duri
PANTUN Melayu lama ada mengatakan, ‘Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.’ Pantun ini sebenarnya perlu dikaji. Banyak yang tersirat. Bukan apa, sebagai iktibar rakyat jelata.
Orang dulu-dulu penuh puitis, selalu mengambil iktibar daripada alam semesta. Pantun inilah salah satunya. Cuma ada beberapa pertanyaan juga yang perlu dijawab oleh orang bijak pandai kita.
Antaranya kenapa dikaitkan 'siakap, senohong, gelama ikan duri' ini dengan bercakap bohong dan mencuri pula? Nah, inilah persoalan kajian. Ataupun sudah ada yang mengkajinya tidaklah pula saya ketahui.
Siakap sebenarnya ada dua jenis menurut kata orang bijak pandai. Ada siakap putih hidup di muara sungai dan ada pula siakap merah yang hidup di laut. Jadi tidak perlulah kita tertipu. Maknanya ikan siakap boleh dikatakan ikan yang hidup di dua keadaan.
Siakap ini juga, dikatakan boleh bertukar warna bergantung persekitarannya. Tetapi yang paling hebat walaupun ada jantan betinanya, siakap ini adalah sejenis ikan yang boleh ‘hermaphroditic.’
Berkenaan senohong pula, kenapa senohong disebut juga? Tak bolehkah disebut haruan keli ke? Kembung puyu ke? Ataupun ia hanya untuk menyedapkan sebutan bahasa sahaja? Sebab itulah orang - orang bijak pandai, tok guru, ulama, menteri dan profesor perlu mengkaji pantun Melayu yang semakin dipinggirkan ini.
Saya sendiri pun ada membuat sedikit penyelidikan juga. Bukan apa, sayangilah pantun orang tua-tua yang banyak memberi manfaat ini. Ambil tahu supaya ia tidak pupus. Lagipun banyak pengajaran kita peroleh.
Sebenarnya saya pun tidak tahu juga bagaimana rupa ikan senohong ini. Tetapi bila ke pasar dan bertanya, barulah tahu rupa senohong ini. Ikan ini daripada kategori keluarga senangin dan kurau rupanya. Jadi apa kaitan dengan pantun ini pula?
Ikan senangin dan kurau ini jika dilihat sekali imbas, agak mengelirukan juga. Ini kerana bentuknya hampir sama. Tetapi terdapat perbezaan juga supaya kita tidak tertipu pula.
Jika diteliti, senangin sebenarnya mempunyai janggut. Janggutnya pendek sahaja tetapi tebal juga. Namun, ada juga ikan senangin yang tidak mempunyai janggut.
Manakala ikan kurau pula mempunyai janggut juga. Ada lima set janggut di bawah sirip pektoral yang memanjang ke sirip anal. Dan janggutnya juga lebih panjang dari senangin. Maka jika memancing nanti, dengan melihat janggutnya dapatlah dipastikan sama ada senangin atau kurau. Janganlah tertipu pula.
Untuk kajian seterusnya, kita pergi kepada frasa gelama ikan duri pula. Di sini timbul sedikit pertanyaan juga, adakah ia merupakan dua ekor ikan yang berlainan atau ikan yang sama? Iaitu, adakah pantun ini menyebut tentang ikan gelama dan ikan duri atau gelama itu yang berduri?
Maka eloklah kita membuat sedikit analisis lagi tentang ikan-ikan ini. Kalau merujuk kepada ikan gelama sahaja, sebenarnya mempunyai banyak jenis. Ada gelama pisang, gelama janggut, gelama bongkok dan lain-lain lagi.
Diberitahu juga oleh bijak pandai, di Malaysia sahaja mempunyai sekurang-kurangnya 52 jenis spesis gelama. Sebenarnya ikan gelama ini unik juga. Mungkin sebab itu diguna pakai oleh orang tua-tua bijak pandai untuk pantun ini. Ikan gelama ini apabila ditangkap akan keluarkan bunyi.
Bunyi yang seakan-akan membebel ini dikatakan marah dan juga sebagai amaran kepada rakan-rakan sekitarnya supaya berhati-hati dan persediaan perlindungan juga.
Berkenaan ikan duri pula, sebenarnya banyak juga spesies ikan yang jenis berduri. Kebanyakannya menggunakan duri ini sebagai sistem pertahanan sahaja. Maka hendaklah berhati-hati.
Dari jenis-jenis ikan yang disebut daripada pantun ini, rata-ratanya adalah jenis pemangsa. Jenis pemangsa ini sebenarnya amat merbahaya dan licik juga. Ia akan mencari mangsa untuk dijadikan makanannya. Maka mangsanya harus berwaspadalah.
Berkaitan frasa kedua pula, iaitu bercakap bohong lama-lama mencuri, maka dapatlah kita simpulkan dan kaitkan dengan sifat-sifat ikan itu. Sifat-sifat ikan itu sendiri yang amat licik dan merbahaya merupakan pengajaran kepada kita juga.
Jadi elok sangatlah pantun Melayu ini. Berbohong ini adalah perkara licik walaupun nampak seperti perkara kecil sahaja. Walaupun licik dan kecil, ini sebenarnya boleh membawa kepada perkara yang lebih besar seperti mencuri pula.
Orang mencuri akan membuat pekerjaan ini secara diam-diam sahaja. Tetapi jika pencuri itu sedar ada yang memerhatikannya, maka dia akan mencari jalan untuk melepaskan diri pula. Ini boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa.
Selain itu, berhati-hati juga dengan ikan senangin dan kurau ini. Ini kerana, ikan ini mempunyai janggut. Janggut ini mungkin sebagai penyamaran sahaja. Mungkin ketika melihat janggut ikan ini, kita merasa hiba pula untuk menangkapnya. Hubaya-hubaya, sebenarnya ia cuba menipu kita supaya simpati. Jadi janganlah terpedaya dengan pembohongan ini.
*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!