Hakisan ubah landskap pantai

Hakisan berlaku di Kampung Pantai Kempadang, Kuantan, Pahang pada Januari lalu. Gambar kecil: Effi Helmy
Hakisan berlaku di Kampung Pantai Kempadang, Kuantan, Pahang pada Januari lalu. Gambar kecil: Effi Helmy
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 10 kawasan pantai di negeri Pahang mengalami hakisan serius hasil kajian yang dijalankan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) sejak beberapa tahun lalu.

Daripada keseluruhan kawasan pesisiran pantai di Pahang sepanjang 271 kilometer (km) iaitu dari sempadan Terengganu hingga ke Johor, 65.7 km daripadanya dikesan mengalami hakisan termasuk 2.7 km mengalami hakisan yang sangat kritikal.

Antara pantai terlibat ialah Pantai Kempadang di Cherating, Balok, Teluk Chempedak, Pantai Sepat, Cherok Paloh, Tanjung Batu, Kuala Rompin, Tanjung Gemok dan Kampung Mukut.

Masalah itu bukan isu baharu, malah bukan hanya berlaku di Pahang, sebaliknya turut melibatkan negeri-negeri pantai timur dan beberapa negeri di pantai barat.

Keadaan diburukkan lagi susulan fenomena air pasang besar yang berlaku ketika musim tengkujuh baru-baru ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin berkata, hakisan pantai sesuatu yang normal dan memang berlaku setiap tahun disebabkan peningkatan paras air laut.

Katanya, hakisan pantai satu proses alam dalam mengimbangi lautan dan daratan.

Effi Helmy berkata, biasanya kawasan pantai yang terjejas akan terbentuk kembali secara semulajadi dalam tempoh tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Hakisan boleh berlaku di mana-mana kawasan pantai baik di pantai timur mahupun pantai barat atas beberapa faktor dengan tahap keseriusan yang berbeza.

“Jika diperhatikan, berdasarkan kajian lalu, kawasan pantai barat terdedah kepada kejadian hakisan pantai berdasarkan risiko dan kekerapan berlakunya fenomena air pasang besar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau bagaimanapun berkata, ia tidak bermakna kejadian sama tidak berlaku di kawasan pantai negeri-negeri pantai timur kerana ia proses biasa, apatah lagi pantai timur lebih terdedah menerima ombak kuat dari Laut China Selatan ketika Monsun Timur Laut.

“Bezanya tahun ini kejadian hakisan pantai di negeri pantai timur agak serius. Salah satu faktornya adalah perubahan cuaca yang mana taburan hujan tinggi serentak dengan fenomena air pasang besar dan luruan ombak yang lebih kuat.

“Peningkatan paras laut ditambah dengan luruan ombak telah mengubah keadaan normal ombak di pantai timur dari 1.5 hingga 2.5 meter kepada 3 meter,” katanya.

Beliau berkata, berbanding di negeri pantai barat, walaupun mengalami air pasang yang jauh lebih tinggi tapi tenaga ombaknya tidak kuat selain sedimennya yang halus dan berlumpur.

Berhubung dakwaan kejadian hakisan pantai yang serius itu berpunca daripada faktor pembangunan, Effi Helmy menolak faktor itu sebagai punca utama.

“Faktor utama lebih kepada proses semulajadi dan cuaca, manakala pembangunan mungkin faktor sampingan bagi sesetengah kawasan.

“Sebagai contoh di Pahang, realitinya pembangunan kawasan pantai di negeri itu tidak begitu padat berbanding Terengganu, namun hakisan tetap berlaku,” katanya.

Beliau berkata, langkah menangani hakisan ini juga perlu diteliti dan ditangani sesuai dengan keperluan sama ada untuk memulihara pantai atau melindungi kemusnahan pembangunan kawasan sekitar.

“Dalam sesetengah tindakan, pembinaan benteng pemecah ombak tidak sesuai untuk proses pemulihan pantai secara semulajadi, namun ia terpaksa dibina atas faktor keselamatan dan mencegah kemusnahan pembangunan di sekitar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!