Musnah akibat hakisan ombak

Batang dan dahan pokok yang tumbang berselerakan menjadikan kawasan Pantai Kampung Tanjung Batu agak tidak selamat untuk dikunjungi.
Batang dan dahan pokok yang tumbang berselerakan menjadikan kawasan Pantai Kampung Tanjung Batu agak tidak selamat untuk dikunjungi.
A
A
A

PEKAN - Pantai Kampung Tanjung Batu, Nenasi di sini musnah akibat hakisan ombak yang berlaku pada musim tengkujuh penghujung tahun lalu.

Malah selepas hampir tiga bulan kejadian berlalu, pantai yang dahulunya indah dan sentiasa dikunjungi pengunjung kini terbiar sepi dan seperti tidak selamat untuk dikunjungi.

Kunjungan wartawan Sinar Harian ke pantai itu baru-baru ini disambut kesan runtuhan chalet dan batang-batang pokok rhu yang tumbang.

Kejadian itu bukan hanya mengubah landskap pantai malah telah meranap punca rezeki pengusaha dan pekerja Chalet Kekunang Tering berhampiran.

Episod duka Pantai Kampung Tanjung Batu yang juga dikenali sebagai Pantai Kunang-Kunang itu dikongsi bekas pekerja chalet berkenaan, Ab Manan Md Amin, 56.

Menurutnya, kejadian hakisan pantai di kawasan itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, namun impak kemusnahan lebih serius penghujung tahun lalu ekoran fenomena air pasang besar dan ombak kuat.

“Boleh dikatakan hampir keseluruhan kawasan pantai di sini terjejas teruk malah kejadian sama turut berlaku hampir sepanjang pesisiran pantai hingga ke Rompin.

“Setahu saya, hampir 100 meter kawasan pantai berpasir di sini sudah masuk ke dalam laut kesan hakisan yang berterusan sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ab Manan berkata, impak hakisan tahun lalu paling serius apabila chalet tempatnya bekerja musnah hingga dia dan pekerja lain hilang pekerjaan setelah pihak pengurusan terpaksa menutup operasi.

Gambar dari kiri: Rozmah, Ab Manan
Gambar dari kiri: Rozmah, Ab Manan

Menurutnya, masalah hakisan di pantai itu difahamkan sudah mendapat perhatian pelbagai pihak baik agensi terlibat mahupun kerajaan negeri.

“Cumanya setakat ini belum ada tindakan diambil dan penduduk pun tidak pasti bentuk penyelesaian terhadap masalah ini,” katanya.

Seorang peniaga, Rozmah Mohamad, 49, pula berkata, dia menaruh harapan agar kemusnahan kawasan pantai di kampung itu segera dibersihkan dan dibaiki.

Katanya, walaupun suasananya tidak lagi indah seperti dahulu, sekurang-kurangnya langkah baik pulih yang bakal diambil pihak berkenaan dapat memastikan kawasan pantai itu lebih selamat untuk dikunjungi.

“Walaupun pantai ini bukan pantai peranginan popular seperti pantai lain, namun ia tetap ada daya tarikan tersendiri,” katanya.

Pantai Kampung Tanjung Batu dan Pantai Tanjung Pahang, Rompin merupakan antara 12 pantai di negara ini yang terjejas teruk.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan peruntukan daripada kerajaan pusat untuk projek baik pulih kawasan pantai yang terjejas di negeri ini.

Wan Rosdy percaya, kerajaan pusat akan mempertimbangkan permohonan itu dan difahamkan maklumat lengkap dari aspek teknikal juga sudah diperoleh.

“Jika ada keputusannya nanti, kita (kerajaan negeri) akan baiki segera pantai-pantai yang dikenal pasti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!