Klopp optimis peluang Liverpool
BIARPUN dilihat berdepan laluan berliku apabila diundi berdepan Real Madrid bagi aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada awal pagi Selasa, pengendali Liverpool Jurgen Klopp tetap optimis dengan kemampuan The Reds.
Menurut Klopp, perlawanan berkenaan pastinya menjanjikan debaran dan aksi yang sengit walaupun ia bukanlah pertemuan pertama bagi kedua-dua pasukan.
“Bagi saya, ia perlawanan yang menyeronokkan, penuh debaran dan pastinya ia satu undian yang cukup sukar bagi mana-mana pasukan untuk berdepan pasukan hebat seperti Real Madrid.
“Bagaimanapun, saya tidak kisah dengan kesemua anggapan itu, kerana bagi saya kesemua pasukan yang beraksi di suku akhir adalah pasukan yang kuat dan berkualiti.
“Secara keseluruhannya, ia membuatkan saya tidak sabar untuk menantikan pertemuan ini,” katanya.
Aksi kedua-dua finalis Liga Juara-Juara musim 2018 lalu itu diberitakan menjadi aksi tumpuan peminat bola sepak bagi pada peringkat suku akhir pertama Liga Juara-Juara kali ini.
Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada aksi suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung pada 15 April.
Sementara itu Klopp mengakui teruja dengan pertemuan kedua-dua pasukan kali ini dan berharap ia berkesudahan seperti mana yang telah dirancangkannya sebelum ini.
“Saya memang teruja dengan perlawanan ini. Genap dua tahun sejak kami bertemu mereka (di pentas final), dan ia menjadi malam yang sukar buat kami.
“Bagaimanapun, kali ini kami mendapat peluang untuk menebusnya apabila berdepan mereka sekali lagi. Ia ternyata sesuatu yang hebat dan dinanti-nantikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!