Hidup umpama putaran roda

Perubahan kepimpinan, struktur dan teknologi pasti akan berlaku dalam sistem sebuah organisasi normal yang aktif dan berdaya saing.- Gambar hiasan internet
Perubahan kepimpinan, struktur dan teknologi pasti akan berlaku dalam sistem sebuah organisasi normal yang aktif dan berdaya saing.- Gambar hiasan internet
A
A
A

HARI ini kita mungkin gembira, namun esok belum tentu kita masih bersuka ria. Jika sekarang kita berduka, mungkin esok ada khabar gembira. Ya, itulah hakikat kehidupan, ada kalanya kita akan berada di atas dan ada kalanya akan berada di bawah.

Kehidupan kita boleh diumpamakan sebagai roda berputar. Bersedialah untuk berada di mana-mana sahaja posisi dalam kehidupan dan mendepaninya dengan tabah dan penuh kesabaran. Begitulah juga halnya dengan nasib seseorang pemimpin. Patah tumbuh hilang berganti. Pemimpin lama pergi, yang baharu mengganti. Namun, perjuangan harus diteruskan oleh pemimpin baharu dan warga yang ditinggalkan.

Sebagai pembuka kolum ‘Insan 360’, penulis ingin berkongsi dengan pembaca tentang kuasa kepimpinan, organisasi aktif dan pengaruhnya dalam melahirkan insan cemerlang dalam organisasi. Teori dan dapatan kajian menunjukkan bahawa perubahan kepimpinan, struktur dan teknologi pasti akan berlaku dalam sistem sebuah organisasi normal yang aktif dan berdaya saing.

Adalah sesuatu yang pelik dan jika tiada langsung perubahan kepimpinan berlaku dalam jangkamasa panjang dan fenomena ini jika dibiarkan boleh mencetuskan pelbagai permasalahan.

Pengumuman rombakan besar-besaran dalam pentadbiran awam oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, baru-baru ini menzahirkan kuasa pemimpin. Perubahan kepimpinan organisasi universiti awam dan beberapa institusi utama kerajaan mahupun swasta juga menunjukkan bagaimana hakikat seseorang pemimpin itu boleh datang dan pergi.

Walaupun dalam kalangan mereka ada yang sempat menjadi pemimpin dalam tempoh agak pendek dan ada juga yang telah lama berkhidmat, kedua-duanya pasti memberikan impak cukup besar kepada organisasi. Yang penting bukan lama atau singkat masanya memegang sesuatu jawatan, tetapi bagaimana pemimpin tersebut ‘mewarnai’ organisasi tersebut sepanjang tempoh perkhidmatannya. Warna-warna yang ditinggalkan inilah yang akan dikenang dan terpahat dalam sejarah kehidupan warga organisasi.

Bagi menentukan sama ada kepimpinan berkesan dan boleh diterima dalam organisasi atau sebaliknya, adalah dengan melihat bagaimana ‘suasana’ organisasi jika pemimpin terdahulu tidak lagi bersama organisasi. Jika pekerja bersuka ria dan ‘indeks kegembiraan’ meningkat dengan perubahan pemimpin, maka sesuatu yang negatif boleh ditanggap dari segi gaya kepimpinan yang dipamerkan oleh pemimpin tersebut. Jika perasaan sebaliknya dialami oleh pekerja, maka sesuatu yang positif berjaya meresap ke dalam diri warga organisasi.

Kesan seseorang pemimpin terhadap organisasi dan warganya boleh digambarkan melalui serapan air terhadap dua jenis fabrik berbeza. Air kita lambangkan sebagai visi yang ingin dibawa oleh pemimpin dan kain sutera atau kain kapas diibaratkan sebagai pengikut yang dihasilkan. Air yang dicurahkan ke atas kain sutera akan cepat kering dan mungkin merosakkan kain tersebut jika sering dibasuh.

Artikel Berkaitan:

Walaupun zahirnya kain sutera kelihatan cantik, hakikatnya ia tidak tahan lasak. Maksudnya di sini, pengikut yang bersifat seperti kain sutera akan cepat melupakan visi pemimpin lama, apatah lagi jika pemimpin tersebut tidak begitu digemari. Sebaliknya, kain kapas mudah meresap dan menampung air di samping tidak mudah rosak. Walaupun nampak biasa, ia tahan lasak dan kalis tekanan.

Warga organisasi seperti kain kapas pastinya dapat menghayati wadah perjuangan pemimpin lama walaupun dia telah pergi dan mampu berdepan dengan cabaran baharu.

Umumnya, semakin tinggi kedudukan seseorang pemimpin, semakin besarlah peranan dan tanggungjawabnya dalam menentukan hala tuju organisasi. Pada masa sama, semakin tertekanlah kehidupan mereka. Ini kerana, bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Hal ini menjadi semakin berat, mencabar dan serius kerana setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan pada masa hadapan akan kepimpinannya.

Kebertanggungjawaban dan amanah yang diberikan semestinya memaksa pemimpin ‘menyerahkan’ dirinya kepada warga organisasi. Tempias wadah pemimpin terdahulu ditambah cabaran persekitaran organisasi masa kini menjadikan isu stres amat sinonim dengan tugas sebagai pemimpin masa kini berbanding pemimpin terdahulu.

Bergelar dan menjadi pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah, namun jika diberi amanah dan peluang, janganlah dipersiakan. Gunakanlah peluang keemasan yang datang mungkin sekali dalam kehidupan itu untuk membuat perubahan ke arah kesejahteraan organisasi dan warganya. Peluang berharga ini bukanlah hak mutlak seseorang, ia akan berakhir bila tiba saatnya.

*Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul, Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!