Tiga budak sekolah antara ditahan merempit

Enam lelaki ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini pada Ahad.
Enam lelaki ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini pada Ahad.
A
A
A

BUTTERWORTH - Tiga pelajar sekolah antara enam lelaki ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini pada Ahad.

Operasi yang bermula pada jam 5 petang hingga 8 malam itu dilakukan berikutan lokasi berkenaan sering dijadikan litar lumba oleh golongan samseng jalanan tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketika pemantauan dibuat enam motosikal dilihat sedang bersaing sesama sendiri sambil melakukan aksi menundukkan badan yang amat berbahaya.

Menurutnya kumpulan itu berlumba bermula dari tol Bagan Ajam menghala Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT).

“Tindakan yang berbahaya itu menyebabkan polis mengintip pergerakan mereka sebelum membuat tangkapan.

“Lima individu ditahan di lorong motosikal berhampiran tol manakala seorang lagi yang cuba melarikan diri ditahan di kawasan Pantai Bersih tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Noorzainy berkata, tiga yang ditahan berusia 16 tahun masih bersekolah manakala tiga lagi berusia 17 hingga 19 tahun sudah bekerja.

Sementara itu, polis akan terus membanteras kegiatan lumba haram yang sering menjadikan LLB sebagai litar berlumba dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!