'Bila ayah nak balik'

Nur Ashikin (kanan) bersama ibu mentuanya, Azizah menunjukkan gambar Wan Azila yang ditemui lemas pada Isnin selepas terjatuh dari bot di Sungai Dedap, Teluk Intan.
Nur Ashikin (kanan) bersama ibu mentuanya, Azizah menunjukkan gambar Wan Azila yang ditemui lemas pada Isnin selepas terjatuh dari bot di Sungai Dedap, Teluk Intan.
A
A
A

TELUK INTAN - "Ayah mana, bila ayah nak balik." Itu soalan yang ditanya Faiz Danial, 5, kepada ibunya, Nur Ashikin Mohd Rashid, 23, sehingga meruntun hati wanita tersebut.

Nur Ashikin merupakan isteri kepada Wan Azila Abdul Aziz, 27, yang terjatuh dari bot di Sungai Dedap di sini pada petang Ahad sebelum mayatnya ditemui pada Isnin.

Nur Ashikin berkata, anak lelaki tunggalnya itu kerap bertanyakan soalan berkenaan apabila mendapati ayahnya tidak pulang ke rumah semalaman selepas keluar memancing.

"Faiz memang sangat rapat dengan ayahnya. Selama ini semua urusan dia mahu ayahnya yang bantu. Mungkin itu yang menyebabkan dia rasa sedih dan kehilangan.

"Setiap masa dia bertanya ke mana ayahnya pergi dan kenapa masih belum balik. Dia juga tidak tidur kerana mahu menunggu ayahnya pulang," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang Ahad, Wan Azila dilaporkan terjatuh ketika bot dinaiki bersama abang iparnya cuba mengelak keladi bunting semasa memancing udang galah di sungai berkenaan.

Mayat lelaki yang bekerja sebagai juruukur di tapak projek jambatan Bagan Datuk itu ditemui sekitar jam 2.20 petang Isnin oleh orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Sementara itu, Nur Ashikin berkata, ketika dibawa ke sungai itu, anaknya bertanya sama ada bapanya itu selamat atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun masih kecil, dia seolah faham apa yang berlaku. Wajahnya penuh riak risau dan bertanya bila ayahnya akan pulang. Itu yang buat saya sedih sangat," katanya.

Nur Ashikin berkata, sejak Ahad dia sebenarnya sudah tidak berasa sedap hati.

Menurutnya, pada awalnya dia tidak membenarkan suaminya ikut pergi memancing di sungai itu, namun akur selepas dipujuk.

"Dia sempat hantar saya ke tempat kerja dan saya minta dia pulang awal sebelum Maghrib, tetapi luluh hati apabila saya dapat panggilan sekitar jam 5 petang yang beritahu dia hilang membuatkan saya terduduk, rasa macam tak percaya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

Sementara itu, ibu Wan Azila iaitu Azizah Abdullah, 53, berkata, kali terakhir mereka bertemu pada jam 2.30 petang Ahad ketika anak ketiga daripada empat beradik itu menghantar Faiz ke rumahnya di Kampung Sarang Tiong di sini sebelum keluar memancing.

"Ketika mahu keluar, Faiz menangis kerana mahu ikut. Dia pujuk cakap pergi sekejap saja, tetapi anaknya itu terus menangis dan cakap ayahnya mesti akan pergi lama," katanya sambil memaklumkan mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tersangkut di tebing sungai iaitu kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.

Katanya, operasi SAR yang turut disertai Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu telah diperluas hingga jarak lima kilometer dari lokasi awal.

"Mangsa ditemui pada hari kedua operasi menyelamat dijalankan. Mayat mangsa telah dibawa naik ke tebing oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.15 petang hari ini (Isnin)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!