58 kawasan di Gombak, Kuala Lumpur alami gangguan bekalan air esok

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 58 kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada Selasa.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kemas kini di Facebooknya memaklumkan, ia susulan kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju dan Bukit Nanas.

"'Kerja-kerja ini akan bermula jam 9 pagi pada Selasa (6 April) dan bekalan air akan pulih sepenuhnya pada jam 5 pagi, Jumaat (9 April).

"Pengguna dinasihatkan menyimpan air secukupnya untuk kegunaan seisi rumah dan pastikan semua bekas simpanan ditutup," menurut kenyataan itu pada Ahad.

Antara kawasan Kuala Lumpur yang terlibat adalah Chow Kit, Dang Wangi, Damansara Height, Bukit Bangsar, Bukit Bintang, Kementah, Kampung Baru, Brickfields dan lain-lain.

Sementara bagi Gombak pula adalah Bukit Wangsamas, Dataran Wangsa, Kisc Wangsa Maju, Taman Keramat AU4, Taman Wangsa Jaya, Wangsa Melawati dan Wangsa Maju (Seksyen 1, 2, 4, 5, 6, 10)

Pengguna boleh melayari laman web https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ untuk maklumat lanjut.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi mendapati kebanyakan pengguna telah maklum berhubung perkara itu membuat persiapan awal.

Artikel Berkaitan:

Seorang suri rumah, Lydiana Nadia kamarasaman, 40, berkata, dia telah membuat tadahan air sebelum 30 Mac lalu, sewaktu mendapat maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual.

" Saya ingatkan kawasan Kuala Lumpur terlibat gangguan pada 30 Mac, rupa-rupanya kawasan terlibat pada tarikh itu adalah bagi Shah Alam, Klang dan Petaling sahaja.

"Jadi, simpanan hari itu masih ada lagi. Rumah saya memang sentiasa simpan air sebab tinggal di rumah bertingkat dan sebelum ini kerap terlibat gangguan air," katanya.

Dia berharap Air Selangor dapat menggerakkan lori tangki di kawasan perumahan terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air.

"Saya duduk berlima, air tangki boleh tahan sehari sahaja, kalau ada lori tangki bergerak ke kawasan perumahan pun bagus juga kerana gangguan air kali ini hanya melibatkan beberapa kawasan sahaja.

"Saya juga harap kerja penyelenggaraan berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual, kalau siap awal lagi bagus," katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan awam, Mohd Nasir Saidan, 48, berkata, dia tidak membuat simpanan air kerana kawasan perumahanya di Padang Balang, Sentul tidak tersenarai dalam lokasi gangguan bekalan air.

"Sebelum-sebelum ini pun kalau ada gangguan bekalan air, rumah saya tidak terlibat.

" Namun, jika berlaku gangguan air dalam tempoh tiga hari tersebut, mungkin saya mandi di pejabat," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya sekitar Wangsa Maju mendapati tidak berlaku pembelian panik dalam kalangan pengguna apabila masih terdapat stok air mineral tersusun di rak.

Sementara tinjauan di kedai plastik sekitar lokasi sama mendapati terdapat peniaga meletakkan tong air bagi membantu pengguna membuat persediaan gangguan bekalan air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!