Pertemuan Muhyiddin, Sultan Brunei kukuh hubungan Malaysia-Brunei
KUALA LUMPUR - Pertemuan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Isnin mengukuhkan lagi hubungan istimewa Malaysia-Brunei Darussalam yang sedia akrab.
Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Melalui hantaran di laman Facebook rasminya berkata, dua kesepakatan utama berjaya dimeterai dalam pertemuan sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-23 Malaysia-Brunei.
Kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman dalam bidang pengurusan bencana era pasca-Covid-19 dan Perjanjian Unitasi antara syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan Sekretariat Unitasi Kebangsaan (NUS) dalam sektor minyak dan gas.
Hishammuddin berkata, kedua-dua pemimpin turut senada untuk antara lain memperhalusi cadangan mewujudkan skim Laluan Hijau Timbal Balik antara Malaysia dan Brunei bagi tujuan rasmi dan perniagaan penting apabila situasi mengizinkan.
"Menjalin kerjasama diplomasi vaksin termasuk ke arah pengiktirafan sijil vaksinasi masing-masing," katanya dalam hantaran yang turut disertakan beberapa keping gambar pertemuan berkenaan.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk memperkukuh persefahaman berkaitan Land Boundary Malaysia-Brunei termasuk memastikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama dapat diadakan dalam waktu terdekat.
Menurut Hishammuddin, kedua-dua negara juga akan meningkatkan usahasama dalam sektor ekonomi terutama antara Brunei dengan Sabah dan Sarawak.
Dalam aspek pertahanan katanya, kerjasama antara Royal Brunei Armed Forces (RBAF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan dipereratkan.
Malaysia dan Brunei turut akan mempelbagaikan pendekatan bersama dalam sektor agrikultur, perikanan, pendidikan, pelaburan, pelancongan dan teknologi maklumat termasuk keselamatan siber, kata Hishammuddin.
Muhyiddin mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Brunei yang berakhir pada Isnin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!