RM500,000 naik taraf jeti nelayan
MARANG - Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf jeti di Kampung Alur Pak Bang sebagai kemudahan kepada lebih 600 nelayan di sana.
Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas berkunjung ke lokasi pada Isnin.
Menurutnya, kerja menaiktaraf jeti sedia ada yang sudah uzur terletak berhampiran mini slipway itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan ia dijangka siap pada tahun depan.
“Jeti wajah baharu ini juga akan dilengkapi stor penyimpanan, surau dan kedai makan sebagai kemudahan kepada nelayan ketika melabuhkan bot di jeti atau menunggu bot diselenggara di slipway,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Mini Slipway dan Bilik Sejuk yang disempurnakan Dr Ahmad Samsuri di hadapan kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang pada Isnin.
Mini slipway bernilai lebih RM500,000 di Kampung Alur Pak Bang dibina bagi memudahkan kerja menaikkan bot ke daratan bagi tujuan penyelenggaraan atau baik pulih kerosakan pada bot nelayan.
Tun Ahmad Faisal berkata, dengan adanya kemudahan itu nelayan sekitar Marang tidak lagi berdepan masalah lokasi pembaikian bot yang jauh dari kawasan pengeluaran hasil setempat sekali gus dapat mengurangkan kos.
“Mini slipway ini mampu menahan beban bagi bot nelayan zon A dan B yang bermuatan kurang 30GRT,” katanya.
Bagi bilik sejuk yang terletak di depan kompleks LKIM Marang pula kata Tun Ahmad Faisal, kemudahan pertama bagi komuniti nelayan di Marang itu mampu menampung kapasiti sehingga 10 metrik tan hasil laut dalam satu masa.
“Mini slipway dan bilik sejuk ini dapat memberi manfaat kepada 42 bot Zon A dan 11 bot Zon B serta hampir 600 nelayan di kawasan Marang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!