Lelaki ditemui mati berlumuran darah dalam kebun sayur
KAMPAR - Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dengan tukul besi di kawasan kebun sayur di Ayer Hitam Labu, Tronoh Mines di sini pada Isnin.
Mangsa merupakan warga Myanmar berusia lingkungan 30-an itu disedari pemilik kebun sekitar jam 7 pagi dalam keadaan terlentang dengan tubuh tanpa baju dan berseluar pendek.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, pemeriksaan pada fizikal mangsa mendapati terdapat beberapa kesan hentakan objek tumpul di kepala serta koyakan di bahagian muka.
"Mangsa yang bekerja di kebun terbabit dijumpai lebih kurang 20 meter dari pondok yang digunakan sebagai tempat penginapan, pemeriksaan ke atas pondok itu bagaimanapun tidak menemui apa-apa pengenalan milik mangsa.
"Siasatan lanjut yang turut dibantu Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Kontinjen Perak kemudiannya menemui sebilah tukul besi yang terdapat kesan darah, sebilah parang berukuran 60 sentimeter dan botol minuman keras berhampiran mayat mangsa," katanya.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada pergaduhan antara mangsa dengan suspek utama yang juga warga Myanmar ketika dalam keadaan mabuk.
"Suspek kejadian ini disyaki menggunakan tukul besi yang dijumpai itu sebagai senjata untuk memukul mangsa," katanya di sini pada Isnin.
Beliau berkata, polis telah menahan seorang rakan senegara mangsa yang turut bekerja di kebun berkenaan pada jam 3.30 petang Isnin bagi membantu siasatan.
Katanya, lelaki itu tinggal di pondok bersebelahan telah mengaku bahawa terdengar satu pergaduhan membabitkan mangsa dan suspek antara jam 1 hingga 2 pagi.
"Selepas kejadian, suspek utama telah mengejutkannya daripada tidur dan mengaku bahawa dia ada memukul mangsa.
"Oleh kerana takut dan panik, suspek berkenaan telah melarikan diri dengan membawa beg pakaian," katanya.
Polis kini dalam tindakan untuk mengesan suspek utama bersama dua lagi rakan mangsa bagi siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!