Enggan letak harapan tinggi, kata Chong Wei

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei
A
A
A

JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei enggan peminat meletakkan harapan tinggi untuk dia sekali lagi menjadi penyumbang pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Memetik laporan Berita Harian, bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, fokus utama ketika ini adalah untuk cuba melayakkan diri terlebih dahulu ke Tokyo sebelum memikirkan mengenai sasaran tertentu pada temasya berprestij berkenaan.

"Saya fikir masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran pada Olimpik. Apa yang paling penting cuba layak dulu beraksi di Olimpik, selepas itu baru kita lihat perancangan seterusnya.

"Selain saya, ada lagi pemain perseorangan lelaki yang bersaing untuk layak (Lee Zii Jia dan Liew Daren). Kami akan bekerja keras dan bersaing secara sihat, siapa layak dia akan pergi.

"Semua pemain pastinya mahu layak ke Olimpik memandangkan ia berlangsung empat tahun sekali. Saya sudah empat kali beraksi di Olimpik (2004, 2008, 2012 dan 2016), jadi jika tidak layak pun tidak mengapa.

"Namun, impian saya untuk membuat penampilan kelima di temasya itu dan akan cuba melakukan yang terbaik," kata Chong Wei.

Pemain berusia 37 tahun itu memegang rekod sebagai atlet negara yang paling berjaya di pentas Olimpik selepas memenangi tiga pingat perak dalam tiga temasya berturut-turut bermula Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.

Dia ketika ini dalam persiapan bagi membuat kemunculan pertama di pentas antarabangsa selepas berehat panjang susulan kanser hidung yang dihidapinya.

Artikel Berkaitan:

Kali terakhir dia beraksi dalam kejohanan adalah pada saingan Terbuka Indonesia, Julai tahun lalu.

Chong Wei dijangka membuat kemunculan semula di Terbuka Malaysia, April depan tetapi ia bergantung terhadap pemeriksaan kesihatannya bersama doktor pakar yang merawatnya di Taiwan.

"Saya akan ke Taiwan bulan depan bagi melakukan pemeriksaan dengan doktor. Jika doktor memberi lampu hijau untuk saya kembali bermain, saya akan beraksi di Terbuka Malaysia namun jika tidak mungkin Piala Sudirman (Mei depan) akan menjadi kejohanan pertama saya.

"Setakat ini, semuanya berjalan dengan baik. Saya sudah mula menjalani latihan di gelanggang dan selepas itu di gimnasium, saya cuba yang terbaik untuk kembali beraksi secepat mungkin," kata juara Terbuka Malaysia 12 kali itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!