Lelaki ditahan kerana miliki 23 ekor tenggiling hidup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan seorang lelaki kerana memiliki 23 ekor tenggiling yang dipercayai diseludup dari Lawas, Sarawak dan dibawa ke Keningau untuk dijual.

Hasil maklumat awam, pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah mengadakan satu operasi kira-kira jam 11.50 pagi semalam, dan menahan sebuah kereta dipandu lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Lawas, Sarawak.

“Enam anggota unit penguatkuasaan dari jabatan itu dengan bantuan dua Warden Hidupan Liar telah menahan dan memeriksa kereta Proton Waja yang dipandu lelaki itu di jalan Kemabong - Tenom,” kata kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Hasil pemeriksaan, pihaknya menemui Tenggiling tersebut yang diletakkan di dalam karung nilon biru dan hitam di bonet belakang kereta, dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Tenggiling Sunda, merupakan spesis yang dilindungi mengikut Jadual 1, Seksyen 41, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Mereka yang didapati bersalah memiliki apa-apa spesies atau produk yang disenaraikan di bawah Jadual 1 tanpa kebenaran yang sah, daripada pihak berkuasa boleh dipenjarakan, selama tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 5 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM50,000 tetapi tidak melebihi RM250,000, atau kedua-duanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!