Ombak besar hakis pantai
LANGKAWI - Penduduk yang tinggal berdekatan Pantai Pasir Hitam di sini gusar memikirkan nasib mereka beberapa tahun akan datang yang mungkin perlu berpindah sekiranya masalah hakisan pantai semakin meruncing.
Seorang penduduk, Rachni Md Hassan, 58, berkata, musim hujan dan angin kencang pada setiap tahun mencetuskan ombak besar yang menghakis pantai sehingga ke daratan kini sudah menghilang sejauh lebih 50 meter.
Katanya, kedudukan rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari pantai menyebabkan dia tidak dapat tidur lena setiap kali musim angin kencang bermula sekitar September.
“Rumah saya adalah antara yang paling hampir dengan pantai. Kalau hujan lebat dan angin kuat kami sekeluarga jadi takut.
“Apatah lagi rumah kami juga pernah menjadi mangsa ribut sehingga bumbung rumah diterbangkan angin,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebelum ini terdapat banyak pokok kelapa di sekitar pantai berkenaan namun kini semuanya telah lenyap ditelan ombak.
“Ada juga kedai-kedai makan yang dulu bertapak di kawasan ini tetapi sekarang mereka telah berpindah ke kawasan yang lebih selamat,” ujarnya.
Seorang peniaga yang merupakan penduduk asal Kampung Pasir Hitam, Norihan Hashim, 54, berkata, kejadian hakisan berkenaan semakin ketara beberapa tahun kebelakangan ini.
“Tetapi ia disebabkan fenomena alam. Kita hendak halang pun tak boleh, namun saya berterima kasih kepada kerajaan yang telah bertindak dengan menambak pantai menggunakan batu.
“Cuma harapan saya agar pihak bertanggungjawab tidak menebang pokok-pokok besar yang ada di kawasan ini.
“Kita takut kalau tak ada pokok, hakisan akan makin teruk,” terang beliau.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat berkata, kerajaan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang membina tembok penahan ombak bernilai lebih RM5 juta di sepanjang pantai berkenaan.
Beliau memberitahu, projek berkenaan akan membantu mengelakkan hakisan berlaku dengan lebih teruk lagi sehingga melenyapkan identiti pantai penuh bersejarah berkenaan.
“Selain itu, kita juga ada lagi satu projek yang akan memanjangkan daratan pantai sehingga 60 meter ke laut.
“Projek ini adalah salah satu manfaat untuk sektor pelancongan Langkawi di samping bertujuan menghentikan hakisan,” katanya.
Tambah Juhari, projek itu juga akan mengekalkan sejarah pantai berkenaan yang merupakan salah satu daripada tujuh lokasi pantai yang mempunyai pasir hitam di dunia.
“Kita akan kumpul pasir hitam ini dulu sebelum kita letak pasir biasa dan kemudiannya akan dilapis dengan pasir hitam semula untuk mengekalkan nama dan sejarahnya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!