‘Tanah sendiri dah jadi laut’
KOTA BHARU - Walaupun terpaksa berjaga-jaga setiap masa, namun itulah rutin yang dilalui penduduk di tepi pantai setiap kali tiba musim tengkujuh.
Dihempas ombak dan dibadai angin yang kuat bukan perkara pelik lagi bagi mereka. Mereka tidak akan berganjak asalkan rumah pusaka tersebut masih boleh digunakan untuk berteduh.
Namun, banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 2014 memberi kesan besar kepada mereka terutamanya penduduk di kawasan tepi pantai di Kampung Pulau Kundur di sini.
Noratikah Hassan, 25, yang tinggal di situ sejak lahir memberitahu rumah yang didiami mereka sekeluarga lenyap sekelip mata akibat ditelan ombak semasa bah tersebut berlaku.
Katanya, tiada satu pun barangan yang sempat mereka selamatkan sekali gus memusnahkan segala memori rumah tempat mereka berteduh sejak kecil.
Pekerja pembersihan di Pengkalan Chepa itu memberitahu, rumah pusaka Allahyarham bapanya itu juga kini hanya tinggal kenangan tanpa sebarang kesan kerana sudah berada di tengah laut.
“Tiada apa-apa kesan, ombak sangat tinggi dan rumah itu lenyap sekelip mata.
“Sedih memang sedih, itulah satu-satunya harta peninggalan arwah ayah kepada kami.
“Sekarang kami tinggal di tanah orang, bukan tanah sendiri. Tanah sendiri sudah menjadi laut,” katanya kepada Sinar Harian.
Perkara yang sama dikongsikan Nor Fatin Ahmad Ruzaman, 25, yang rumahnya turut tenggelam bersama 13 buah rumah lain dalam kejadian itu.
Ujarnya, sejak peristiwa tersebut, dia dan jiran-jiran berpindah ke lokasi lain, tidak jauh dari kawasan pantai yang sama.
“Sekarang kami pindah jauh sedikit dari pantai. Tapi jarak jauh ini pun tidak akan kekal lama sebab pantai terhakis secara berterusan.
“Setiap tahun jarak itu makin dekat kecuali dibuat benteng batu yang tinggi, barulah selamat sedikit.
“Sekarang pun kadang-kadang air naik sampai atas. Tapi kami sudah biasa dengan bahaya yang menanti.
“Cuma kami perlu sentiasa berjaga-jaga kerana tidak mahu peristiwa dulu berulang kembali.
“Bunyi ombak dan angin musim tengkujuh akan mengingatkan kami pada kejadian sebelum ini. Takut dan sedih, tapi takdir sudah tentukan sebegitu.
“Kami harap kerajaan dapat sediakan kawasan yang lebih baik untuk kami. Tanah kami semuanya dalam air laut, mana kami nak tinggal lagi?” katanya.
Berlainan pula dengan kehidupan penduduk di Kampung Pantai Dasar, Sabak di sini.
Mereka memberitahu, hempasan ombak melebihi benteng batu bukan lagi sesuatu yang pelik bagi mereka. Walaupun ada benteng, namun air tetap naik sampai ke darat.Malah, rumah di tepi benteng tersebut turut terjejas dengan percikan air laut, begitu juga premis perniagaan di kawasan tersebut.
Perkara itu sudah menjadi kebiasaan kepada penduduk bahkan rumah nenek moyang mereka juga kini berada di tengah laut.
Tanah dan pasir pantai sentiasa terhakis sehingga menyebabkan penduduk terpaksa berpindah berulang kali.
Nik Hassan Runi, 66, yang bekerja sebagai buruh dan merupakan anak jati kampung tersebut, sudah menjadi lumrah bagi mereka berpindah memandangkan hakisan semakin hari semakin mendekati rumah mereka.
Katanya, rumah yang terletak kurang 15 meter dari benteng batu tersebut turut terkesan apabila tiba musim tengkujuh atau dibadai angin yang kuat.
“Tapi kita sudah biasa, bersiap sedia awal-awal apa yang patut. Tapak rumah nenek moyang saya memang sudah terletak dalam air sejak dulu lagi, sudah lenyap habis.
“Benteng batu ini membantu juga namun air tetap naik sebab ombak di sini agak tinggi, tidak sama dengan kawasan pantai yang lain.
“Cuma bezanya, ‘orang pantai’ tidak pelik dengan hakisan ini sebab memang inilah lumrah kami,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!