Bantu belia jadi usahawan tani
PUTRAJAYA - Jabatan Pertanian mensasarkan seramai 500 peserta terutama graduan dan belia menyertai projek ladang kontrak dengan lapan syarikat terpilih pada tahun ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bagi menjayakan hasrat itu, Jabatan Pertanian memperkenalkan modul dan konsep kontrak ladang antara penanam dengan pemain industri yang berpotensi sebagai syarikat utama untuk tanaman terpilih.
“Hari ini, Jabatan Pertanian berjaya menemukan syarikat-syarikat utama dengan bakal penanam kontrak yang terdiri daripada golongan belia negara iaitu seramai 150 orang graduan institusi pengajian tinggi awam dan swasta, Sijil Pertanian dan Sijil Kemahiran Malaysia di bawah kementerian ini.
“Saya difahamkan program ini disertai melalui pendaftaran secara dalam talian untuk tempoh hanya tiga hari.
“Sambutan diterima sangat menggalakkan sehingga mencapai 364 penyertaan daripada graduan, namun kita mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dengan jumlah peserta terpaksa dihadkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Business Talk: Selangkah Ke Industri Pertanian di kementeriannya di sini pada Isnin.
Ronald berkata, menerusi kontrak ladang yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian ini ia juga untuk membantu mereka yang terjejas dengan Covid-19 di negara ini.
“Program ini dilihat memberi manfaat kepada usahawan yang terbabit dari segi meningkatkan produktiviti ladang, menjamin bekalan mencukupi dan memperoleh harga yang tinggi,” katanya.
Selain itu, katanya, ia juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan tanah dan sumber tenaga kerja kerana melalui kontak ladang ini ia akan dibangunkan dengan perkongsian pakej teknologi tanaman terbaik.
Menurutnya, Jabatan Pertanian telah merangka strategi untuk mengeksport hasil tanaman yang telah melebihi tahap sara diri 100 peratus di bawah program pengeksportan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan penglibatan pemain industri di sepanjang rantaian nilai.
“Pada masa ini, Jabatan Pertanian memberikan fokus kepada buah-buahan tropika terlebih dahulu seperti durian, nangka, tembikai dan betik untuk dieksport serta pengeluaran cili, kubis bulat dan halia bagi memenuhi keperluan tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pada tahun 2013, eksport buah-buahan negara adalah RM675 juta manakala pada 2018 telah meningkat hampir dua kali ganda iaitu RM1.3 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!