Pemuda PN tekad lakukan penjernihan demokrasi
SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) bertekad melakukan penjernihan demokrasi melalui penerapan nilai-nilai murni dalam politik.
Ketua Penerangannya, Muhammad Hilman Idham berkata, demokrasi yang unggul ditunjukkan parti politik berupaya memperkukuh perpaduan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
"Kita telah menyaksikan pelbagai pengalaman demokrasi yang akhirnya menjadi medan perebutan kuasa, menjamin kepentingan golongan elit sehingga mengabaikan rakyat.
"Menginsafi dinamika ini, Pemuda PN komited melakukan penjernihan demokrasi melalui penerapan nilai-nilai murni dalam politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Justeru katanya, pihaknya turut menyeru seluruh rakyat untuk memperkukuhkan perpaduan dan kesatuan khususnya dalam mendepani pandemik Covid-19 ketika ini.
Tambahnya, hanya melalui ikatan utuh di kalangan parti-parti politik mampu mewujudkan perpaduan demi membela kepentingan rakyat.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Pemuda PN mengulangi pendirian untuk menolak sebarang budaya politik dominasi yang akhirnya boleh menyemai bibit perpecahan.
Katanya, budaya itu juga boleh melahirkan kepimpinan yang rasuah, salah guna kuasa dan kleptokrat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!