Hospital swasta bantu orang awam daftar vaksin Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pendaftaran pesakit awam dan swasta di hospital swasta bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Presiden APHM, Dr Kuljit Singh berkata, ia kini sedang berhubung dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mendapatkan butiran lanjut dan dicadangkan dimulakan dengan segera.

“Kami berharap dapat meningkatkan pilihan untuk pesakit awam dan swasta mendaftar secara manual dengan bantuan kakitangan kami di hospital swasta dan dimasukkan ke dalam sistem.

“Ini adalah untuk vaksin percuma yang disediakan kerajaan. Hospital swasta kini dalam perbincangan untuk mengesahkan komitmen kami untuk memberi vaksin kepada orang ramai menggunakan vaksin yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Ia susulan selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata, KKM akan mengenal pasti punca majoriti rakyat Malaysia masih belum mendaftar untuk vaksin Covid-19.

Dilaporkan juga KKM menyasarkan 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia mendaftar untuk program imunisasi itu, namun setakat ini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Dr Kuljit berkata, terdapat kira-kira 210 hospital swasta di negara ini dengan 152 ahli APHM yang semuanya berada di kedudukan strategik di seluruh negara termasuk bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, terdapat 1.1 juta kemasukan di hospital swasta dan 3.8 juta lawatan pemeriksaan pesakit luar pada 2018.

Artikel Berkaitan:

“Kami percaya dengan jumlah ini, usaha kami untuk mendapatkan lebih ramai rakyat dan penduduk lain di negara ini yang berdaftar untuk vaksin akan meningkatkan program vaksinasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, APHM juga diharap dapat membantu pesakit di hospital swasta dengan program vaksinasi dan hospital swasta juga dapat memulakan program vaksinasi swasta selari dengan petugas barisan hadapan ekonomi sebaik sahaja ketersediaan vaksin tercapai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!