Cadangan pinda undang-undang syariah berkaitan LGBT perlu berhemah
KUALA LUMPUR - Isu mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Semakan 1988) (Akta 355) bagi menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) haruslah ditangani secara berhemah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata LGBT adalah bertentangan dengan norma agama Islam dan pendekatan yang hendak diambil juga mestilah dengan cara mendidik untuk membetulkan perkara berkenaan.
“Saya kena tengok apakah ruang sedia ada dari segi peruntukan dan undang-undang, kita mesti menuju ke arah keharmonian, kebaikan dan rasa selesa dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar dalam Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil serta Amil Zakat Fitrah Tahun 2021 di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai laporan media bahawa kumpulan bekas penjawat awam kanan G25 membantah cadangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary untuk meminda Akta Kesalahan Jenayah Syariah bagi menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas golongan tersebut.
Dalam pada itu, ketika diminta memberi pandangan mengenai kes usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau dikenali ramai dengan nama Nur Sajat yang masih menghilangkan diri, beliau mengesyorkan Sajat supaya bertemu pihak berkuasa terutamanya majlis agama serta pejabat agama di Selangor untuk berbincang bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Pada 23 Februari lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap usahawan kosmetik berumur 36 tahun itu selepas dia tidak hadir semasa sebutan semula kesnya yang menghadapi satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki berpakaian menyerupai wanita. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!