'Bukan taasub, hanya hiasan cantikkan ruang'
GERIK - [DIKEMAS KINI] Replika kayu berbentuk capal yang tular kerana diletakkan di ruang solat di sebuah surau madrasah di Lenggong, di sini tidak ada kaitan dengan amalan taasub.
Ia telah dipasang di sudut surau Pondok Haji Shahruddin Al Mandili di Kampung Banggol Batu, Lenggong sejak setahun lalu bagi tujuan hiasan kerana ruang berkenaan turut dijadikan studio bagi aktiviti ceramah dan kuliah.
Mudir madrasah, Ahmad Rozaini Abdul Rahman An-Nuuri berkata, replika itu dihasilkan sendiri olehnya yang memang berkemahiran dalam menukang dan diletakkan di ruang itu semata-mata sebagai latar belakang ketika ceramah.
"Ruang imam ini sudah dijadikan studio untuk ceramah agama sejak setahun lalu, kuliah Subuh dan Maghrib pula kita buat setiap hari dan ada disiarkan secara langsung di Facebook.
"Jadi saya sengaja letakkan replika kayu ini di sini untuk menggantikan hiasan lain, replika ini turut dihiasai dengan lampu tujuannya untuk mencantikkan ruang ketika ceramah.
"Itu sahaja, bukan digunakan untuk tujuan menyembah atau sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.
Beliau berkata, setakat ini belum ada mana-mana arahan rasmi yang memintanya menurunkan replika berkenaan.
Bagaimanapun, pihaknya sudah memberi penjelasan kepada Pejabat Mufti Perak berhubung isu itu pada Isnin.
"Mereka nampak berpuas hati dengan penjelasan yang saya berikan itu dan buat masa ini saya tak terima lagi arahan agar replika itu diturunkan," katanya.
Ahmad Rozaini menganggap isu tular itu sebagai satu hikmah kerana ramai pihak menghubunginya berhasrat untuk menempah replika sama sebagai hiasan.
"Saya alu-alukan jika ada yang berminat, sekurang-kurangnya hasil upah itu nanti boleh digunakan untuk menyiapkan proses naik taraf surau ini.
"Boleh juga beri keselesaan kepada penduduk sekitar yang datang untuk menunaikan solat atau mengikuti kuliah dan ceramah di sini," katanya.
Ahad lalu, tular di laman sosial sebuah madrasah di Perak menempatkan replika berbentuk capal pada hadapan mihrab iaitu sudut bahagian imam.
Hantaran tular itu telah mendapat reaksi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui ciapan balasnya di laman Twitter menyifatkan ia satu kesalahan dalam menzahirkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW.
Dalam masa sama, Pejabat Mufti Perak turut menjalankan siasatan bagi mendapatkan penjelasan lanjut daripada pengurusan madrasah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!