Notis rentas negeri sudah diturunkan
KUALA LUMPUR - Notis ditampal di sebuah balai polis di sini yang menuntut alasan serta bukti kukuh diperlukan untuk permohonan rentas negeri selain bukti aktiviti setiap hari dipohon berikutan kejadian melibatkan instafamous telah diturunkan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon bagaimanapun tidak menyatakan sebab notis itu diturunkan, namun menyatakan kebenaran rentas negeri hanya dikeluarkan kepada mereka yang mempunyai alasan yang sah.
"Semua pemohon yang ingin melakukan perjalanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan harus menunjukkan bukti, baik untuk pekerjaan atau hal-hal lain.
"Pegawai saya telah diingatkan bahawa mereka yang ingin melakukan perjalanan kerja mesti menunjukkan bukti dan tidak hanya mengeluarkan izin sesuka mereka," katanya pada Selasa.
Sebelum ini, selebriti yang juga usahawan terkenal, Neelofa dan suaminya, Haris Ismail akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung gambar dan video tular pasangan itu bersiar-siar di pulau peranginan Langkawi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, berdasarkan video dan gambar yang dimuat naik di media sosial pasangan itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Pada 12 Mac lalu juga, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap pasangan suami isteri instafamous (pensohor media sosial) yang didapati menyalahgunakan permit rentas negeri untuk tujuan berbulan madu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!