Menangis dituduh cabul, miliki video lucah

Tertuduh, Nik Mohamad Fazli Nik Mahmud, 30, (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu pada Selasa selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cabul dan memiliki video lucah.
Tertuduh, Nik Mohamad Fazli Nik Mahmud, 30, (tengah) dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu pada Selasa selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cabul dan memiliki video lucah.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang lelaki berstatus suami orang menangis teresak-esak di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana dituduh mencabul seorang remaja yang baru seminggu dikenali melalui laman mencari jodoh dalam talian dan memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya.

Tertuduh, Nik Mohamad Fazli Nik Mahmud, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli dan Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa empat anak tersebut didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada seorang remaja perempuan berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya di sebuah premis di Kampung Lundang Paku, di sini pada jam 10 malam, 24 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki video lucah dalam telefon bimbit miliknya jam 11.30 malam pada 26 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Pendakwaan Trafik, Siti Aisyah Abdul Manah dan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Erdabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariayani Mohd Aamin dan Norzaimah Mohamed.

Kedua-dua peguam bela memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minima kerana tertuduh hanya bekerja sebagai peniaga dan perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan empat anak yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,500 untuk kedua-dua pertuduhan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 10 dan 24 Mei depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!