KSM selamatkan warga India dikerah kerja, gaji dipotong

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyelamatkan seorang lelaki warga India dipercayai menjadi mangsa kepada majikan yang tidak berperikemanusiaan di Raub, Pahang, pada Isnin.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, operasi yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang dibuat hasil maklumat yang diterima dalam bentuk kiriman video oleh orang awam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 45 tahun itu masuk ke negara ini pada 2019 menggunakan pas lawatan sementara dengan dijanjikan permit pekerjaan oleh ejen, namun urusan permohonan permit tertangguh atas alasan negara berdepan wabak Covid-19 menyebabkan pekerja tersebut bekerja tanpa permit yang sah.

“Majikan pula mengambil kesempatan menggajikan lelaki itu dengan bayaran RM1,500 sebulan sebelum membuat potongan yang tidak perlu iaitu potongan sewa bilik dan elaun dan hanya membayar gaji RM500 setiap bulan.

“JTKSM juga telah berbincang dengan pihak majikan dan mendapatkan baki tunggakan gaji sebanyak RM6,000 yang dibayar secara tunai pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Saravanan berkata, lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak kedutaan India di Kuala Lumpur dan proses penghantaran pulang dibuat dalam tempoh seminggu.

“KSM tidak akan sesekali berkompromi dalam isu melibatkan salah guna tenaga kerja dan penganiayaan terhadap pekerja tidak kira pekerja tempatan mahupun pekerja asing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!